Rabu, 13 September 2017 | 6:10pm
SEKURANG-KURANGNYA 370,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh ekoran operasi tentera Myanmar sejak 25 Ogos lalu yang menyasarkan kumpulan militan Rohingya yang menyerang pos polis dan tentera di sempadan.- Foto Reuters

Hantar pulang rakyat Myanmar - GAGAH

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Gagasan Pembela dan Pelindung Kebajikan Ummah Malaysia (GAGAH) menggesa Kerajaan Malaysia menghantar pulang rakyat Myanmar sebagai membantah kekejaman tentera negara itu ke atas etnik Rohingya.

Presiden GAGAH Malaysia, Yahya Long Ali, berkata tindakan itu penting dalam memberikan kesedaran kepada rakyat Myanmar yang berada di sini untuk mendesak kerajaan mereka menghentikan penindasan ke atas etnik Rohingya. 

Katanya, Kerajaan Malaysia tidak perlu memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar tetapi sekatan ekonomi wajar dikenakan ke atas negara bekas junta itu.

"Penghantaran pulang rakyat Myanmar di negara ini amat perlu supaya mereka sendiri akan menyalahkan dan mempersoalkan Kerajaan Myanmar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yahya yang juga aktivis Food Flotilla For Myanmar yang menghantar makanan dan ubat-ubatan ke Bangladesh dan Myanmar melalui jalan laut Februari lalu, berkata Wisma Putra perlu melakukan tindakan lebih konkrit bagi menghentikan kekejaman tentera Myanmar ke atas etnik Rohingya.

Media melaporkan sekurang-kurangnya 370,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh ekoran operasi tentera Myanmar sejak 25 Ogos lalu yang menyasarkan kumpulan militan Rohingya yang menyerang pos polis dan tentera di sempadan.

Media antarabangsa juga melaporkan tentera negara bekas junta itu turut menyasarkan serangan ke atas penduduk awam, selain dakwaan pencabulan hak asasi seperti pembantaian ke atas pelarian Rohingya, pembunuhan, pemerkosaan dan pembakaran kampung-kampung etnik Rohingya.

2303 dibaca
Berita Harian X