Rabu, 13 September 2017 | 4:43pm
FARID Ahmad.-Foto Rosela Ismail

Pendaftaran SSM lindungi pengguna

SUBANG JAYA: Usahawan yang mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan sendirinya memberi perlindungan kepada pengguna daripada ditipu ketika berurus niaga secara dalam talian.

Pengarah Bahagian Pemasaran dan Pembangunan Produk SSM, Farid Ahmad, berkata LAZADA adalah pengendali tunggal portal e-dagang yang mewajibkan usahawan mendaftar perniagaan dengan SSM sebelum menjual produk menerusi portal itu.

"Selain menjamin kelancaran urus niaga, pendaftaran perniagaan dengan SSM dapat melindungi pengguna, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka membeli-belah menerusi portal itu.

"Ia berikutan penguatkuasaan dapat dilakukan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan, di samping lebih mudah menjejaki pihak yang melakukan kesalahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Persidangan Usahawan E-Dagang di Pusat Persidangan Sunway di sini, hari ini.

Lebih 1,000 peserta menyertai persidangan julung kali diadakan itu, yang antara lain mendedahkan mereka terhadap kepentingan mendaftar perniagaan supaya sah dari segi undang-undang.

Bertemakan 'Everyone Can Sell', program yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan, itu turut menggalakkan orang ramai menceburi perniagaan supaya mendaftar dengan SSM.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LAZADA, Hans-Peter Resel; Ketua Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) PJ Telekom Malaysia, Shahril Effendi Jaafar; Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan dan Keusahawanan SME Corporation Malaysia, Zaky Moh; dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk Hamirullah Boorhan.

258 dibaca
Berita Harian X