Rabu, 13 September 2017 | 2:49am

Trump puji pendirian Najib perangi keganasan

WASHINGTON DC: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memuji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung peranan signifikan beliau dalam memerangi keganasan.

Pemimpin Malaysia itu, katanya, telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikan kumpulan keganasan tidak mempunyai tempat dalam masyarakat.

"Perdana Menteri telah memainkan peranan besar untuk tidak membenarkan ISIS atau anda gelar Daesh dan lain-lainnya untuk wujud.

"Beliau benar-benar berpendirian tegas dalam menentang keganasan di Malaysia dan penyokong kuat bagi pendirian itu.

"Itu amat penting bagi Amerika Syarikat," kata Trump pada lawatan Najib ke Rumah Putih, di sini, hari ini.

Terdahulu, Trump menyambut Najib yang tiba di Rumah Putih untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika itu, puncak lawatan kerja beliau ke Washington DC dari 11 hingga 13 September ini.

Selain mengadakan pertemuan empat mata di Pejabat Oval, kedua-dua pemimpin turut mengetuai mesyuarat delegasi Amerika Syarikat dan Malaysia, yang terdiri daripada anggota Kabinet dan pegawai kanan kerajaan kedua-dua negara.

Pada mesyuarat delegasi itu, Trump turut merakamkan penghargaan kepada Najib, yang berada di Washington DC atas undangannya, berhubung pelaburan Malaysia di Amerika Syarikat.

Dalam kenyataannya pada mesyuarat itu, Perdana Menteri menyampaikan mesej penting kepada Trump bahawa Malaysia bersama-sama dengan Amerika Syarikat dalam perjuangan memerangi keganasan.

Beliau mengambil perhatian matlamat pentadbiran Trump untuk menjadikan Amerika Syarikat dan dunia sebagai tempat yang selamat, sesuatu yang menurut Najib, apa yang beliau juga mahu capai untuk Malaysia dan melangkauinya.

"Kami komited untuk memerangi Daesh, IS, Al-Qaeda, Abu Sayyaf - apa pun namanya. Mereka ialah musuh Amerika Syarikat, mereka juga musuh Malaysia.

"Kami mainkan peranan kami untuk memastikan kawasan kami di dunia ini selamat," kata Najib, sambil menegaskan kumpulan keganasan telah mencetuskan huru-hara di seluruh dunia.

Najib memanfaatkan pertemuan beliau dengan pemimpin kuasa besar dunia terkemuka itu untuk menyentuh mengenai pentingnya sokongan diberi kepada kerajaan negara Islam berpendirian sederhana serta memenangi hati dan minda masyarakat Islam dalam usaha memerangi ancaman keganasan.

"Dalam hal ini, perkara paling penting ialah memberi sokongan kepada rejim dan kerajaan negara Islam, yang berpendirian sederhana serta progresif di seluruh dunia kerana itulah wajah Islam yang benar-benar tulen.

"Lebih rapat hubungan anda dengan rejim progresif dan berpendirian sederhana, maka akan lebih berkesanlah usaha untuk memenangi hati dan minda dunia Islam," kata Najib. - BERNAMA

1693 dibaca
Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump (empat dari kiri) semasa mesyuarat kabinet bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (empat dari kanan) di Rumah Putih Washington, DC. - Foto EPA
Berita Harian X