;
Selasa, 12 September 2017 | 4:18pm
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Sultan Kedah yang baharu, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dan Raja Puan Muda Kedah, Tengku Maliha Tengku Ariff memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Balai Penghadapan Baru Istana Anak Bukit. - Foto BERNAMA

Sultan Selangor titah bendera dikibar separuh tiang

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua bendera di negeri ini dikibarkan separuh tiang bagi menghormati kemangkatan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Bahagian Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, dalam satu kenyataan berkata, Sultan Selangor turut menitahkan kibaran bendera separuh tiang itu bermula hari ini hingga esok.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang mewakili rakyat Selangor merakamkan sembah takziah kepada Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah serta kerabat Diraja Kedah atas kemangkatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

"Pemergian Almarhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Abdul Halim adalah satu kehilangan yang amat besar kepada negara ini.

"Almarhum Baginda banyak menyumbang jasa kepada Persekutuan dan Negeri Selangor sepanjang tempoh menjadi Yang di-Pertuan Agong kelima dan Yang di-Pertuan Agong ke-14," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah mangkat di Istana Anak Bukit kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Baginda adalah satu-satunya Raja-raja Melayu yang memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dua kali.

Kali pertama sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5 pada 21 September 1970 hingga 20 September 1975 dan kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 13 Disember 2011 hingga 13 Disember 2016.

3463 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »