Selasa, 12 September 2017 | 12:41pm

Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi ucap takziah

KUALA LUMPUR: Kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi asing di Kuala Lumpur hari ini merafak takziah atas kemangkatan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Melalui akaun Facebook dan Twitter mereka, kebanyakan suruhanjaya tinggi dan kedutaan merakamkan takziah kepada keluarga diraja Kedah, kerajaan negeri dan seluruh rakyat Kedah.

Sultan Abdul Halim mangkat pada jam 2.30 petang semalam di Istana Anak Bukit, Alor Setar. Almarhum baginda berusia 89 tahun.

Jenazah Almarhum baginda akan dikebumikan di Makam Diraja Langgar pada jam 4 petang ini.

Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur dalam akaun Facebook rasminya mencatatkan: "Kedutaan Amerika Syarikat melahirkan perasaan sedih dan merafak takziah Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah Hamidun dan keluarga Diraja Kedah, kerajaan negeri Kedah dan rakyat Kedah Darul Aman atas kemangkatan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah."

Suruhanjaya TInggi British di Kuala Lumpur dalam akaun Facebook rasminya turut melahirkan perasaan sedih dan mengucapkan takziah kepada kerajaan negeri dan rakyat Kedah atas kemangkatan Sultan Abdul Halim.

Sementara itu dalam akaun Twitter @UKinMalaysia, Suruhanjaya Tinggi British merakamkan ucapan: "Kami melahirkan perasaan sedih dan mengucapkan takziah kepada (negeri) Kedah atas kemangkatan DYMM Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. Al-Fatihah."

Kedutaan Finland dalam akaun Facebook rasminya menyatakan: "Kami amat sedih atas kemangkatan DYMM Tuanku Abdul Halim. Doa dan ingatan kami terhadap keluarga Diraja Kedah dan rakyatnya."

Kedutaan Hungary turut merafak takziah kepada keluarga diraja Kedah dan rakyat negeri serta seluruh rakyat Malaysia atas kemangkatan Sultan Abdul Halim, Yang di-Pertuan Agong Kelima dan ke-14 Malaysia. - BERNAMA

827 dibaca
Berita Harian X