Isnin, 11 September 2017 | 6:49pm

Sultan Kedah Mangkat: PM, TPM ucap takziah

 

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menzahirkan kesedihan dan dukacitanya susulan perkhabaran kemangkatan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, beliau sangat berasa sedih dengan kemangkatan Baginda susulan hubungan akrab yang terjalin atas kapasiti rasmi serta peribadi selama ini.

 

"Sesungguhnya Almarhum Tuanku adalah seorang Raja Pemerintah yang disanjung tinggi sepanjang tempoh menyandang jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi dua penggal, dan juga sebagai Pemerintah negeri Kedah.

 

"Almarhum Tuanku juga seorang yang peramah, mesra, berhemah tinggi dan amat disayangi rakyat.

 

"Patik secara peribadi dan bagi pihak Kerajaan Persekutuan dengan penuh kesedihan merafak sembah takziah kepada kerabat diraja Negeri Kedah. 

 

"Semoga roh Almarhum dirahmati Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah," katanya menerusi Facebook, hari ini.

 

Tuanku Abdul Halim mangkat di Istana Anak Bukit, pada jam 2.30 petang tadi, seperti diumumkan Kerajaan Negeri Kedah, hari ini.

 

Baginda adalah satu-satunya Raja-raja Melayu yang memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

 

Kali pertama sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5 pada 21 September 1970 hingga 20 September 1975 dan kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 13 Disember 2011 hingga 13 Disember 2016.

 

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi Twitter, turut menzahirkan ucapan takziah atas kemangkatan Baginda.

 

"Salam takziah buat seluruh keluarga, kerabat Almarhum Tuanku dan seluruh rakyat Kedah. Semoga dicucuri Rahmat Allah SWT. Al Fatihah," katanya.

2420 dibaca
Berita Harian X