Ahad, 13 Ogos 2017 | 8:46pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerima kucing bernama "Korya" daripada Datuk Mas Ermieyati Samsudin (kanan) sambil diperhatikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kiri); Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (kiri) serta Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah merangkap Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Raub Yusoh (dua dari kanan) pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Durian Daun, Masjid Tanah. - Foto NSTP/Rasul Azli Samad

Najib dapat 'Korya'

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini menerima kejutan istimewa apabila menerima hadiah seekor kucing baka British Shorthair dalam satu majlis di Masjid Tanah, Melaka.

Kucing kelabu bernama Korya itu dihadiahkan oleh Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, pada majlis penutup Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab, Masjid Tanah, Melaka.

Selepas majlis itu, Mas Ermieyati menerusi akaun Twitter rasminya memuat naik gambar menunjukkan Najib yang berbaju Melayu ungu, mengangkat kucing itu sambil diperhatikan Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Terima Kasih Presiden UMNO, DS @NajibRazak sudi menerima kucing #AkuBudakMasjidTanah. Sokongan tak berbelah bagi dari kami," katanya dalam entri Twitter berkenaan.

Najib kemudian membalas status Mas Ermieyati dengan memuat naik gambarnya tersenyum ceria mendukung kucing betina berusia tujuh bulan sembilan hari itu.

"Terima Kasih Ketua Putri kerana menghadiahkan "Korya" kpd (kepada) saya," katanya.

4599 dibaca
Berita Harian X