Ahad, 13 Ogos 2017 | 7:40pm
KETUA Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (tengah) bergambar bersama tetamu dan orang ramai yang hadir pada Pesta Kaamatan di Paitan. - Foto BERNAMA

Hubungan baik kerajaan negeri, Persekutuan untungkan rakyat

PAITAN: Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan bukan saja mewujudkan hubungan baik, malah membawa lebih banyak pembangunan di kawasan luar bandar negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata ia terbukti apabila kawasan luar bandar yang sebelum ini ketinggalan daripada pelbagai aspek pembangunan kini mula membangun.

"Walaupun masih banyak keperluan pembangunan perlu disalurkan, kita sudah melihat perubahan. Bukan saja dalam aspek pembangunan, malah hubungan baik itu juga membolehkan kestabilan politik di negeri ini.

"Selain itu, persefahaman wakil rakyat sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen, turut dilihat menyumbang kepada pembangunan di sesebuah kawasan.

"Saya harap kerjasama dan persefahaman ini dapat dikekalkan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Pesta Tagunggu Paitan ke-11 di Pentas Rakyat, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Kamarlin Ombi dan ADUN Sugut, Datuk James Ratib.

Dalam pada itu, Musa meminta penduduk Paitan menolak pembangkang yang cuba meraih sokongan rakyat khususnya menjelang pilihan raya.

"Pemimpin pembangkang ketika ini lebih kerap masuk kampung untuk mendekati rakyat bagi meraih sokongan dan hanya berjanji bulan dan bintang tetapi tidak mampu merealisasikannya," katanya.

Sementara itu, Pesta Tagunggu Paitan adalah pesta kebudayaan bagi memartabat alat muzik Tagunggu agar lebih dikenali, selain dapat diwariskan kepada golongan muda khususnya suku kaum Dusun Labuk di Paitan dan kawasan berhampiran.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2006, ia telah menarik lebih ramai golongan belia terbabit secara langsung melalui memainkan alat muzik serta persembahan dalam tarian kebudayaan.

Berita Harian X