Jumaat, 11 Ogos 2017 | 2:54pm
PENGARAH FAMA Johor merangkap Lembaga Pengarah Agrobazaar, Zainal Abidin Yang Razalli. - Foto Rosdan Wahid

Fokus perkhidmatan bekal, import produk ke Singapura

SINGAPURA: Agrobazaar Malaysia Singapura (Agrobazaar) akan memperkukuh dan memperkemas operasinya dalam usaha membantu memasar serta membawa masuk produk industri kecil sederhana (IKS) ke republik itu.

Antara aspek yang dititikberatkan Agrobazaar selain menjadi pusat pengumpulan produk makanan adalah bidang perkhidmatan iaitu dengan menjadi pengimport produk tempatan di Singapura.

Pengarah FAMA Johor merangkap Lembaga Pengarah Agrobazaar, Zainal Abidin Yang Razalli, berkata Agrobazaar sudah mengedar dan membekalkan produk usahawan tempatan di lapan kedai di seluruh Singapura.

Katanya, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan lebih giat bersama kerajaan negeri dalam usaha membantu mengembangkan sektor perkhidmatan.

"Sehingga kini, Agrobazaar sudah mengedar produk di lapan kedai seluruh Singapura merangkumi lima di pasar raya premium iaitu Cold Storage, Pusat Halal Malaysia di Big Box Jurong East, Hab Halal Global di Bedok dan Mustafa Centre.

"Agrobazaar juga akan memperkukuh perolehan produk iaitu dengan memastikan sebanyak mungkin produk usahawan tempatan dipasarkan dalam dan luar Singapura," katanya pada sidang media sempena Malaysia Fest 2017 di Dewan Singapore Expo di Changi, dekat sini hari ini.

Zainal Abidin berkata, pihaknya juga akan meningkatkan siri jelajah pencarian produk bagi memastikan Agrobazaar mampu memenuhi permintaan tinggi Singapura.

188 dibaca
Berita Harian X