Jumaat, 11 Ogos 2017 | 2:52pm
MALAYSIA Fest 2017 di Dewan Singapore Expo, Singapura, hari ini. - Foto Fahmi Yusof
USAHAWAN dari Sabah menerangkan produk yang dijualnya kepada pengunjung di Malaysia Fest 2017 di Dewan Singapore Expo, Singapura, hari ini. - Foto Fahmi Yusof

Agrobazaar serlah potensi 20 usahawan Sabah

SINGAPURA: Agrobazaar Malaysia Singapura (Agrobazaar) menjadi titik perubahan kepada 20 usahawan dari Sabah yang buat pertama kali menyertai Malaysia Fest 2017 di Singapore Expo, Changi.

Pada hari pertama Malaysia Fest 2017 yang bermula semalam, lebih RM10,000 nilai jualan dicatat 20 usahawan yang menyertai pameran berkenaan.

Pengarah Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Perindustrian Sabah (DiDR), Patrick Tan, berkata ia adalah perkembangan positif kepada usahawan yang sudah lebih setahun bersama Agrobazaar dan julung kali menyertai pameran di Singapura.

Katanya, usahawan terbabit mempamerkan lebih 20 produk antaranya snek, makanan unik seperti amplang, kuih cincin, sos tiram, biskut beras Kudat, kerepek pisang manis Tenom dan pelbagai barangan kraftangan.

"Potensi pasaran sememangnya besar dan luas di Singapura dan tahun ini kami sasarkan jualan RM2 juta nilai jualan produk di Agrobazaar.

"Kerjasama kerajaan Sabah bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) penting kerana kemudahan Agrobazaar disediakan FAMA membolehkan usahawan memasarkan produk ke luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Malaysia Fest 2017 di Dewan Singapore Expo di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Hashim Paijan dan Pengarah FAMA Johor merangkap Lembaga Pengarah Agrobazaar, Zainal Abidin Yang Razalli.

Tan berkata, selepas ini pihaknya akan meneruskan usaha mempromosi dan menggiatkan pembabitan usahawan pameran atau ekspo ke luar negara secara lebih kerap.

113 dibaca
Berita Harian X