Khamis, 10 Ogos 2017 | 5:40pm
KHEMAH besar yang didirikan dilengkapi skrin digital bagi memudahkan tetamu mengikuti Istiadat Persandingan DiRaja di Istana Besar. - Foto RPO
PEMANDANGAN waktu malam Istana Besar Johor Bahru yang dihiasi dengan limpahan cahaya. - Foto RPO
PEMANDANGAN waktu malam Istana Besar Johor Bahru yang dihiasi dengan limpahan cahaya. - Foto RPO
PEMANDANGAN Tangga Agung di Istana Besar Johor Bahru dengan persekitaran lanskap yang kemas serta berkibarnya megah bendera Johor. - Foto RPO

Persiapan perkahwinan Diraja Johor lancar

JOHOR BAHRU: Persiapan akhir perkahwinan puteri tunggal Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar iaitu Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah dengan Dennis Muhammad Abdullah pada 14 Ogos ini, sedang rancak dijalankan di Istana Besar, dekat sini.

Royal Press Office (RPO) iaitu pejabat media dan komunikasi rasmi Keluarga Diraja Johor, dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Majlis Perkahwinan Diraja Johor itu, secara rasminya dimulakan dengan Istiadat Meletak Kerja di Tugu Peringatan Istana Besar, semalam.

Selain bendera negeri yang dipasang di beberapa jalan utama, persekitaran Istana Besar turut dihiasi dengan bunga-bungaan dan limpahan cahaya berwarna-warni.

Istiadat Persandingan Diraja di Bilik Singgahsana, Istana Besar dihadkan hanya kepada kerabat Diraja dan orang kenamaan tetapi tetamu jemputan yang lain berupaya menonton majlis berkenaan menerusi skrin digital di khemah putih yang didirikan berhampiran Tangga Agung di istana berusia 151 tahun itu.

Orang ramai juga boleh mengikuti majlis perkahwinan diraja itu secara langsung menerusi dua skrin LED khas yang akan didirikan di Dataran Bandaraya bermula jam 8 malam dan satu lagi skrin dipasang di bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), dekat sini.

Majlis Doa Selamat dan bacaan Yasin akan berlangsung malam ini di Masjid Pasir Pelangi dengan dihadiri keluarga Diraja Johor dan tetamu jemputan.

Majlis pertunangan yang diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri oleh keluarga dan rakan terdekat akan berlangsung di Istana Bukit Serene pada jam 10 pagi, Isnin ini, diikuti istiadat akad nikah.

Sultan Johor berkenan mewakilkan Mufti Johor, Datuk Muhammad Tahrir Shamsudin sebagai wali.

Istiadat persandingan akan diadakan pada jam 8 malam pada hari yang sama di Bilik Singgahsana Istana Besar.

6566 dibaca
Berita Harian X