;
Sabtu, 5 Ogos 2017 | 10:41pm
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Batuk kokol di Keningau kes terpencil

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan menjelaskan dua kes pertussis atau batuk kokol yang dilaporkan di Keningau, baru-baru ini, adalah kes terpencil dan membabitkan dua beradik warga asing.

Kedua-dua kanak-kanak itu yang berusia dua tahun tujuh bulan dan 11 bulan, tidak pernah mendapatkan imunisasi pertussis kini dirawat di Hospital Keningau dan dalam keadaan stabil.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Jabatan Kesihatan Sabah telah meningkatkan aktiviti pencegahan dan kawalan melalui pencarian kes di kawasan tempat tinggal kes dan pemberian imunisasi pertussis kepada kanak-kanak yang cicir imunisasi berkenaan.

"Pendidikan kesihatan melalui ceramah, edaran risalah dan poster juga telah diberikan. Orang ramai tidak perlu khuatir kerana kejadian di Sabah ini adalah terpencil," katanya menerusi kenyataan, di sini, sebentar tadi.

Pertussis atau batuk kokol (whooping cough) adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria iaitu Bordetella pertussis.

Kuman disebarkan melalui udara ketika pesakit bersin atau batuk dan menjangkiti mulut, hidung dan tekak serta ia boleh menjangkiti semua orang tanpa mengira usia.

Bagaimanapun, bayi dan kanak-kanak yang tidak mendapat imunisasi lengkap adalah golongan paling berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Dr Noor Hisham berkata, lazimnya mereka yang dijangkiti akan mengalami batuk berpanjangan dalam tempoh satu hingga dua minggu atau boleh berlarutan sehingga dua bulan.

"Batuk yang teruk dan berpanjangan ini menyebabkan pesakit menjadi kebiruan (cyanosis) kerana tidak sempat bernafas dan ini boleh mengakibatkan sawan akibat bekalan oksigen ke otak berkurangan.

"Komplikasi teruk seperti pneumonia (radang paru-paru), encephalopathy (radang otak) dan kematian boleh berlaku," katanya.

Beliau berkata, pertussis boleh dielak dengan pemberian imunisasi kepada kanak-kanak pada usia dua bulan, tiga bulan, lima bulan dan 18 bulan.

Katanya, apabila seseorang kanak-kanak telah mendapat pelalian pertussis lengkap dijangkiti kuman ini, mereka hanya mengalami gejala ringan tanpa risiko komplikasi.

"Wabak pertussis dalam komuniti boleh dicegah dengan memastikan liputan imunisasi pertussis sentiasa melebihi 95 peratus pada setiap masa.

"Liputan imunisasi yang tinggi ini dapat memberi perlindungan kepada komuniti melalui kesan imuniti kelompok (herd immunity).

"Justeru, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak mereka mendapat pelalian pertussis lengkap mengikut jadual yang boleh diperoleh di kemudahan kesihatan kerajaan dan swasta," katanya.

753 dibaca
Berita Harian X