Sabtu, 22 Julai 2017 | 8:09pm

"Ayah pesan siapkan buku autobiografi" : Siti Khairani

KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Pengerusi Telekom Malaysia Berhad (TM), Allahyarham Tan Sri Muhammad Radzi Mansor, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, petang tadi.

Allahyarham dikebumikan kira-kira jam 3.05 petang selepas dimandi dan dikafankan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab yang terletak di belakang kediamannya di Bukit Damansara, di sini.

Jenazah turut disembahyangkan di masjid sama dengan diimamkan anak lelakinya, Ahmad Hakimi.


Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menabur bunga mawar di pusara bekas Pengerusi Kumpulan Telekom Malaysia, Allahyarham Tan Sri Muhammad Radzi Mansor di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Muhammad Radzi yang mencecah usia 76 tahun hari ini, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 8.45 malam semalam di Hospital Pantai Kuala Lumpur akibat penyakit paru-paru.

Pengebumian Allahyarham diziarahi ahli keluarga dan rakan, termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat.

Allahyarham meninggalkan isteri, Puan Sri Aizah Mahmood, 75 dan dua anak iaitu Datin Siti Khairani, 47 dan Ahmad Hakimi, 44.

Sementara itu, Siti Khairani ketika ditemui berkata, bapanya meninggal dunia dalam keadaan tenang di samping ahli keluarga.

"Ayah sudah lama menghidap penyakit paru-paru itu. Dua hari lalu ayah mengadu penat serta sesak nafas dan kami membawanya ke hospital sebelum beliau ditahan di wad.

"Pada mulanya, ayah dilihat semakin sembuh namun segala-galanya berlaku dengan pantas sebelum ayah disahkan meninggal dunia," katanya.

Siti Khairani berkata, sebelum meninggal dunia, Muhammad Radzi sedang menyiapkan buku autobiografinya yang mengisahkan perjalanan hidup dan pengalamannya, khususnya ketika berkhidmat bersama TM selama lebih 40 tahun.

"Ayah ada berpesan mahu melihat buku itu disiapkan dan itulah yang akan kami laksanakan," katanya.

Muhammad Radzi menyertai TM pada tahun 1965 (ketika itu dikenali sebagai Jabatan Telekom Malaysia) sebelum dilantik sebagai Pengerusi TM pada tahun 1999 sebelum bersara pada 2009.

Allahyarham pernah memegang beberapa jawatan lain, antaranya Pengarah Pos Malaysia Berhad, Pengerusi Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd dan Pengarah Multimedia Development Corporation Sdn Bhd.

Ketika ini, beliau memegang beberapa jawatan, antaranya Pengerusi dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kumpulan Fima Berhad (FIMA) serta Pro Canselor Universiti Multimedia (MMU) sejak 2008.

3969 dibaca
Berita Harian X