Rabu, 19 Julai 2017 | 3:19pm
ORANG ramai mengusung jenazah Allahyarham Datuk Ishak Ismail, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng yang meninggal dunia di Taman Rashidah Utama, Senawang berikutan Allahyarham dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Jenazah ADUN Lenggeng selamat dikebumi

SEREMBAN: Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Ishak Ismail, 66, yang meninggal dunia malam tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Genting, Pantai, di sini, jam 2.30 petang, hari ini.

Kira-kira 500 orang kalangan ahli keluarga dan saudara mara serta kenalannya, termasuk pemimpin politik, hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan sebanyak dua kali, iaitu di Masjid Kariah Taman Paroi Jaya, serta Masjid Kariah Pantai di sini.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, turut menziarahi jenazah Allahyarham di rumah kakaknya di Taman Rashidah Utama di sini, pada jam 10.30 pagi.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Umno Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Rustam; Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek; Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias; dan Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Abu Ubaidah Redza.

Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah, jam 11.25 malam tadi.

Ishak meninggalkan isteri, Datin Noremah Ujang, 61, dan empat anak, iaitu seorang lelaki dan tiga perempuan berusia antara 23 hingga 32 tahun.

Beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO cawangan Pantai selepas tiga bulan menyertai parti pada tahun 1976. Beliau kemudian dipilih menjadi Ketua UMNO bahagian Seremban pada tahun 1988 dan turut terpilih menjadi Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan dan EXCO Pemuda UMNO pada tahun yang sama.

Selepas tujuh tahun menjadi Ketua UMNO Bahagian Seremban, beliau bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pantai dan kemudian di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak, sebelum melanjutkan ke Universiti Liverpool, England dalam bidang juruukur bangunan.

Ishak adalah anak Malaysia pertama pulang ke tanah air membawa tiga gulung sijil kursus profesional penilaian hartanah, juruukur bahan dan ijazah dalam bidang juruukur bangunan dari universiti itu pada tahun 1975.

Berita Harian X