Rabu, 19 Julai 2017 | 11:23am

PM ziarahi jenazah ADUN Lenggeng

SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hadir menziarahi jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Ishak Ismail, 66, di Taman Rashidah Utama di sini, hari ini.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menziarahi Allahyarham Datuk Ishak Ismail, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng meninggal dunia di Taman Rashidah Utama, Senawang berikutan Allahyarham dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung. - Foto NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Najib tiba untuk memberi penghormatan terakhir kepada rakan lamanya itu di rumah kakak Allahyarham pada jam 10.30 pagi dan meluangkan masa kira-kira 20 minit sebelum beredar.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Rustam; Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek; Ketua UMNO bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias dan Ketua UMNO bahagian Seremban, Datuk Abu Ubaidah Redza.

Allahyarham meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah, jam 11.25 malam tadi. Ishak menyambut ulang tahun kelahiran ke-66 kelmarin.

Kakak Allahyarham, Asnah Salleh, 69, berkata jenazah adik bongsunya itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Genting, Pantai, di sini, selepas solat Zohor, hari ini.

Beliau berkata, sebelum itu jenazah akan dibawa ke Masjid Taman Paroi Jaya di sini, pada jam 11.30 pagi, untuk disembahyangkan.

"Buat masa ini jenazah adik bongsu saya ini berada di rumah saya di Taman Rashidah Utama bagi memberi peluang kepada rakan dan saudara memberi penghormatan terakhir," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Allahyarham menjadi Ketua Pemuda UMNO cawangan Pantai selepas tiga bulan menyertai parti pada tahun 1976. Beliau kemudian dipilih menjadi Ketua UMNO Bahagian Seremban pada tahun 1988 dan turut terpilih menjadi Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan dan EXCO Pemuda UMNO pada tahun yang sama.

Selepas tujuh tahun menjadi Ketua UMNO bahagian Seremban, beliau bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pantai dan kemudian di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak, sebelum melanjutkan ke Universiti Liverpool, England dalam bidang juruukur bangunan.

Ishak adalah anak Malaysia pertama pulang ke tanah air membawa tiga gulung sijil kursus profesional penilaian hartanah, juruukur bahan dan ijazah dalam bidang juruukur bangunan dari universiti itu pada tahun 1975. Beliau yang berkahwin dengan Datin Norimah Ujang dikurniakan empat orang cahaya mata.

2325 dibaca
Berita Harian X