Isnin, 17 Julai 2017 | 6:59pm
PEMANGKU Pengerusi FGV, Tan Sri Sulaiman Mahbob. - Foto Amirudin Sahib

FGV: Siasatan dalaman bermula 24 Julai

KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mengumumkan penubuhan panel dalaman yang terdiri daripada tiga orang untuk menyiasat empat orang bekas ahli lembaga pengarahnya mulai 24 Julai ini.

Pemangku Pengerusi FGV, Tan Sri Sulaiman Mahbob, berkata empat orang yang disiasat ialah bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad; bekas Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Ahmad Tifli Mohd Talha serta dua lagi pegawai pengurusan kanan.

"Kami melakukan proses yang adil untuk memastikan mereka diberi peluang mempertahankan diri, mengemukakan bukti dan mempunyai masa secukupnya untuk memberi respons kepada siasatan dalaman itu.

"Kami menyasarkan siasatan akan dapat diselesaikan menjelang 14 Ogos 2017," katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri FGV di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengesahkan penemuan bukti baharu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan sebelum ini.

"Kita akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam siasatan kes ini," katanya.

SPRM melakukan serbuan di pejabat Felda Investment Corporation (FIC) hari ini berikutan penemuan bukti baharu berkaitan pembelian hotel di London oleh FIC.

Beliau bagaimanapun menegaskan tidak mengetahui apa bukti baharu itu tetapi yakin FELDA dan FIC akan terus bekerjasama dengan SPRM. - BERNAMA

362 dibaca
Berita Harian X