Isnin, 17 Julai 2017 | 6:39pm

Rabies: Tiada kes babit manusia di Perak

KUALA LUMPUR: Tiada kes positif rabies dalam kalangan manusia dilaporkan di Perak setakat ini.


KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dua mangsa yang digigit anjing positif rabies di Kuala Sepetang pada 4 Julai, tidak menunjukkan gejala klinikal penyakit itu.

"Jabatan Kesihatan Negeri Perak melalui Pejabat Kesihatan Daerah Larut Matang dan Selama sedang melaksanakan aktiviti kawalan serta pencegahan.

 

"Ia termasuklah aktiviti pengesanan kes gigitan anjing di kawasan itu bagi tujuan rawatan dan pemantauan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini.

 

Bagi kes gigitan anjing di Melaka membabitkan kanak-kanak lelaki berumur enam tahun, Dr Noor Hisham berkata, mangsa dimasukkan ke wad Hospital Melaka kerana mempunyai sejarah digigit anjing di Serian, Sarawak.

 

Katanya, ujian awal makmal yang dijalankan adalah negatif rabies.

 

"Kes dalam keadaan stabil dan akan dibuat pemeriksaan serta pemantauan lanjut kerana tempoh inkubasi penyakit rabies adalah lama.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, semua empat pesakit yang disahkan positif rabies sebelum ini meninggal dunia dengan yang terbaharu membabitkan kanak-kanak lima tahun di Kampung Ampungan, Serian, Sarawak petang tadi.

261 dibaca
Berita Harian X