Ahad, 16 Julai 2017 | 11:10am

Tunku Tun Aminah langsung perkahwinan 14 Ogos


YANG Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Abd Rahim Ramli pada sidang media di Bilik Gerakan Tun Abdul Razak, Bangunan Sultan Ibrahim di Johor Bahru, hari ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Puteri tunggal Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim bakal melangsungkan perkahwinan dengan Dennis Muhammad Abdullah di Istana Bukit Serene pada 14 Ogos ini.

Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Abd Rahim Ramli, berkata istiadat meletak kerja akan diadakan pada 8 Ogos ini dengan menaikkan bendera istiadat kerajaan menandakan permulaan Istiadat Perkahwinan Diraja.

Katanya, istiadat pertunangan akan diadakan jam 10 pagi pada 14 Ogos di Istana Bukit Serene, diikuti istiadat nikah manakala istiadat persandingan pada 8 malam di Bilik Singgahsana Istana Besar.

"Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah memberi perkenan untuk Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah melangsungkan perkahwinannya.

"Istiadat perkahwinan pasangan pengantin Diraja akan dilaksanakan dengan penuh istiadat Melayu dan budaya Istana Johor.

"Sultan Johor berkenan mewakilkan Mufti Johor, Datuk Muhammad Tahrir Shamsuddin sebagai wali," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Tun Abdul Razak, Bangunan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.

Abd Rahim berkata, majlis bersiram akan diadakan pada 15 Ogos di Bandstand Bukit Bintang, Taman Botani Diraja Istana Besar dan pasangan pengantin Diraja akan menziarah Makam Diraja Mahmoodiah pada 16 Ogos.

Katanya, majlis perkahwinan akan dilangsungkan secara tertutup.

Tunku Tun Aminah, 31, yang juga Presiden Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah puteri tunggal daripada enam beradik, manakala pasangannya Dennis Muhammad, 28, yang berasal dari Lisse, Amsterdam, Belanda memeluk Islam pada 31 Mei 2015 di Pejabat Kadi Johor Bahru.

5134 dibaca
Berita Harian X