Jumaat, 12 Oktober 2018 | 2:37pm
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh (empat dari kiri) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dalam serbuan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, semalam dan kelmarin. - Foto NSTP

Sindiket bancuh minuman dadah tumpas

KAJANG: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang membancuh dadah dalam pelbagai jenis air minuman selepas menahan 12 individu, semalam dan kelmarin.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata kesemua suspek warga tempatan berusia antara 22 hingga 55 tahun termasuk dua wanita itu ditahan dalam sembilan serbuan dan dua pemeriksaan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya, sindiket berkenaan dipercayai giat memproses dan mengedar dadah di pusat hiburan sekitar Lembah Klang.

“Bermula pada jam 7.50 petang Rabu sehingga 12.15 tengah malam semalam, kita berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.27 juta di samping menyita wang tunai, pelbagai kenderaan dan barang kemas bernilai RM2 juta.

“Modus operandi sindiket ini, mereka akan menggunakan pelbagai jenis minuman, termasuk minuman kultur untuk dicampur dengan pelbagai jenis dadah.

“Kemudian, dadah ini akan dijual di pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, ada minuman kultur yang siap dibancuh bersama dadah dijual dengan harga mencecah RM250 sebotol,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.

Mohmad berkata, kesemua yang ditahan direman sehingga Khamis depan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

290 dibaca
Berita Harian X