Jumaat, 12 Oktober 2018 | 1:00pm
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi keluar dan akan kembali bersambung pukul 3 petang ini untuk memberi keterangan berkaitan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Ahmad Zahid sambung keterangan lepas solat Jumaat

PUTRAJAYA: Sesi rakaman keterangan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan disambung selepas sembahyang Jumaat hari ini.

Kehadiran Ahmad Zahid ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk hari ketiga berturut-turut ini dipercayai adalah bagi membantu melengkapkan siasatan berhubung dakwaannya bertemu dengan kerabat diraja Arab Saudi yang didakwa memasukkan wang sebanyak RM2.6 bilion ke akaun bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini, siasatan turut dikatakan mempunyai kaitan dengan dakwaan Ahmad Zahid menggunakan dana Yayasan Akal Budi bagi membayar hutang kad kreditnya.

Ahmad Zahid, ketika ditanya pemberita berkata, proses siasatan berjalan dengan baik dan beliau akan kembali semula ke Ibu Pejabat SPRM selepas menunaikan solat Jumaat.

"Proses ini akan bersambung semula selepas solat Jumaat dan selepas makan tengah hari dan saya berharap segalanya akan dapat diselesaikan hari ini. Harap-harap begitulah," katanya.

Terdahulu, sebaik selesai memberikan keterangan pada sesi pagi selama hampir tiga jam, Ahmad Zahid bersama beberapa pegawainya kelihatan tenang sambil memanggil pihak media untuk memaklumkan bahawa sesi akan bersambung pada petang ini.

Ini adalah kali kelima Zahid hadir ke SPRM bagi membantu siasatan.

534 dibaca
Berita Harian X