Jumaat, 12 Oktober 2018 | 12:24pm

Sindiket seludup rokok tumpas babit rampasan RM9 juta

MERSING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penyeludupan rokok terbesar di Pantai Timur Johor dengan tertangkapnya 23 individu membabitkan rampasan berjumlah RM9 juta dalam tiga serbuan berasingan di negeri ini, bermula Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata operasi membabitkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di dua kilang dan kediaman perseorangan sekitar negeri ini.

“Operasi ini berjaya menahan 23 individu termasuk tujuh lelaki tempatan dan 16 lelaki warga Indonesia berusia 24 hingga 46 tahun.

“Sebanyak 19 kereta termasuk kereta mewah, lima lori tiga tan, 1,332 kotak rokok dan wang tunai RM9,645 dirampas dalam beberapa siri serbuan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing di sini, hari ini.


Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani melihat rokok dalam kereta yang dirampas daripada sindiket penyeludupan di Pantai Timur Johor, selepas mengadakan sidang media di IPD Mersing. - Foto Mohd Sabran Md Sani

Katanya, tiga lokasi serbuan membabitkan sebuah kilang di Felda Tenggaroh 2, rumah di Taman Johor Jaya dan kilang di Nusajaya.

Menurutnya, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai dalang sindiket penyeludupan rokok berkenaan.

Katanya, berdasarkan hasil siasatan, pihaknya percaya sindiket penyeludupan rokok terbesar di Pantai Timur Johor itu bergerak cergas sejak 2017.

“Kita juga masih menyiasat sejauh mana pembabitan sindiket ini, buat masa ini kami dapati mereka terdiri daripada pengedar rokok kecil-kecilan di sekitar Johor, Lembah Klang dan Pantai Timur,” katanya.

Tambah beliau, siasatan mendapati sindiket itu menggunakan kenderaan mewah sebagai modus operandi untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Ia berdasarkan 19 kenderaan mewah yang dirampas bernilai RM3 juta termasuk Toyota Vellfire, Toyota Estima, Nissan Sentra dan Toyota Camry,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati salah satu lori yang dirampas mempunyai rekod dilaporkan hilang pada 2012, manakala tiga kenderaan lain tiada dalam rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 2001 dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat hingga membolehkan kami menumpaskan mereka,” katanya.

594 dibaca
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani melihat rokok yang dirampas daripada sindiket penyeludupan di Pantai Timur Johor, selepas mengadakan sidang media di IPD Mersing. - Foto Mohd Sabran Md Sani
Berita Harian X