Jumaat, 12 Oktober 2018 | 11:46am
RUSLAN Khalid

Siasatan tetap diteruskan

KUALA LUMPUR: Polis tetap akan meneruskan siasatan berhubung kes seorang lelaki memarahi penjaga tempat letak kereta di sebuah hotel di ibu negara pada 18 September lalu, yang viral di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Siasatan kes itu masih diteruskan dan kes berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Keputusan bergantung kepada pihak berkenaan sama ada mahu menuduh kes terbabit di mahkamah atau tidak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kes itu berikutan suspek dan mangsa dikatakan sudah berbaik selepas gambar mereka bersama viral di media sosial semalam.

Ruslan sebelum ini memaklumkan, berdasarkan laporan mangsa, suspek berbuat demikian selepas penjaga tempat letak kereta itu enggan menaikkan palang keluar hotel selepas mendapati lelaki terbabit tidak membayar tiket tempat letak kereta berjumlah RM3.

Beliau memberitahu pihaknya menerima laporan dibuat oleh pengadu yang juga penjaga tempat letak kereta itu pada 19 September lalu. Difahamkan mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan hanya cedera ringan di bahagian lengan.

Pihak polis sudah mengenal pasti suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ringan.

344 dibaca
Berita Harian X