Jumaat, 12 Oktober 2018 | 11:18am

Suami isteri tokan dadah

IPOH: Polis menahan sepasang suami isteri di sebuah rumah di Changkat Jering, Taiping, dekat sini dan merampas pelbagai jenis dadah dianggar seberat 5.6 kilogram (kg) bernilai RM269,250.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Asisten Komisioner, VR Ravi Chandran, berkata serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, kira-kira jam 2 petang.

“Suami isteri itu ditahan ketika berada di ruang tamu rumah berkenaan, yang juga rumah pusaka pasangan terbabit dan hasil pemeriksaan dijalankan polis menemui dadah jenis heroin seberat 2.93 kg, ganja (2.1 kg) dan syabu (0.55 kg).

“Suspek yang ditahan adalah lelaki (suami) berusia 51 tahun dan wanita (isteri) berusia 54 tahun, yang mana semakan mendapati kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Ravi Chandran berkata, turut dirampas dalam serbuan berkenaan adalah pelbagai peralatan dipercayai digunakan suspek untuk membungkus dadah dalam paket kecil dan sebuah kereta Perodua Axia dianggar bernilai RM25,000 juga disita.

“Polis membuat siasatan dan intipan terhadap suspek sejak dua bulan lalu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti dari mana suspek mendapatkan bekalan dadah serta sudah berapa lama mengedar dadah di sekitar Taiping.

“Pasangan terbabit kini direman selama tujuh hari bermula semalam dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan dan masyarakat setempat yang menyalurkan maklumat kepada polis.

“Secara keseluruhan, bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, seramai 6,239 orang diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak.

“Tangkapan pengedaran dadah pula bagi tempoh sama adalah 1,847 pesalah manakala tangkapan memiliki dadah adalah seramai 4,278 orang,” katanya.

Ravi Chandran berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah bagi tempoh berkenaan pula adalah sebanyak RM3.9 juta manakala nilai sitaan harta membabitkan kes dadah bagi tempoh sama adalah sebanyak RM2.8 juta.

517 dibaca
RAVI Chandran (dua dari kiri) menunjukkan rampasan dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di Ipoh. - NSTP/Abdullah Yusof
Berita Harian X