Jumaat, 12 Oktober 2018 | 11:00am
GAMBAR fail, Van jenazah dipercayai membawa keluar jenazah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan selepas proses menggali semula di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 pada 8 Oktober lalu. - Foto Saddam Yusoff

Jasad Nazrin dikebumi semula minggu depan

KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Ketua Pegawai Eksekutif, Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, akan dikebumikan semula minggu hadapan.

Walaupun pengebumian semula itu dilaporkan akan dibuat hari ini, ia terpaksa ditangguhkan selepas proses bedah siasat masih belum selesai.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, dalam satu pesanan Whatsapp kepada media.

“Proses bedah siasat dilanjutkan, sehubungan itu kita akan menunggu sehingga ahli patologi selesai menjalankan bedah siasat.

“Sebaik selesai, kita akan kebumikan semula jenazah,” katanya.

Selasa lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, dilaporkan berkata jasad Nazrin akan dikebumikan semula hari ini.

Isnin lalu, jasad Nazrin digali keluar dari kuburnya di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara oleh kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan dipantau pegawai Institut Perubatan Forensik Negara.

Nazrin ditemui mati di rumahnya di Kota Damansara di sini, pada 14 Jun lalu, dalam keadaan 30 peratus tubuh badannya terbakar.

Pada mulanya polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut (SDR) iaitu akibat kebakaran berdasarkan laporan dari pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Bagaimanapun, kes itu bertukar menjadi kes bunuh selepas pihak bomba menemui kesan petrol di bilik tidur si mati, sekali gus menimbulkan syak wujudnya elemen jenayah.

Pada hujung bulan lalu, abang mangsa, Dr Malek Hassan, menghantar permohonan kepada pihak mahkamah, untuk membuat bedah siasat kedua ke atas jasad adiknya.

807 dibaca
Berita Harian X