Jumaat, 12 Oktober 2018 | 10:57am

Kes 5 rentung, pemandu treler didakwa

KUALA KANGSAR: Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah atas kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah hingga mengakibatkan kematian lima individu ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Mohd Zaidi Di, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya di hadapan Majistret Noorhidayah Mohd Saad.

Dia didakwa melakukan kesalahan memandu treler di bawah pengaruh dadah hingga mengakibatkan tidak berdaya mengawal kenderaan dan mengakibatkan kematian lima individu iaitu tiga wanita, seorang lelaki dan seorang bayi lelaki itu di Kilometer 255.3 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) kira-kira jam 11.47 pagi, Sabtu lalu.

Lima mangsa yang maut ialah Yew Poh Shy, 37; Teo Wee Tat, 46; Shaw Swee Me, 42; Lee Lin Ying, 60 dan seorang bayi lelaki, Yew Yin Chin berusia setahun.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 10 tahun dan didenda maksimum RM20,000.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya yang juga Pengarah Pendakwaan Perak, Azhar Mokhtar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon supaya mahkamah tidak membenarkan sebarang ikat jamin kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah berat iaitu memandu di bawah pengaruh dadah dan mengakibatkan kematian banyak nyawa.

Azhar berkata, tertuduh juga mempunyai sebanyak 31 saman membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas sejak 1999 hingga 2018 dan masih memandu dengan cuai serta tidak serik melakukan kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh merayu supaya diberikan ikat jamin kerana perlu menjaga kedua-dua ibu bapa yang uzur selain perlu menanggung seorang isteri yang tidak bekerja dan empat anak.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan serahan dokumen dan lantikan peguam dibuat.

Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan memerintahkan lesen memandu tertuduh ditarik balik dan digantung serta diserahkan kepada mahkamah sehingga prosiding kes berkenaan selesai.

Dalam kejadian 11.45 pagi Sabtu lalu, treler membawa muatan bijih besi yang dikatakan dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor, ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan sebelum menghimpit kereta Kia Forte ke pembahagi jalan konkrit di tengah laluan, sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar.

Kejadian itu mengakibatkan lima mangsa termasuk seorang kanak-kanak, yang dipercayai daripada empat keluarga berlainan ditemui dalam keadaan rentung akibat terbakar.

412 dibaca
MOHD Zaidi mengaku tidak bersalah atas kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah hingga mengakibatkan kematian lima individu ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Kangsar, hari ini. - NSTP/L Manimaran
Berita Harian X