Khamis, 11 Oktober 2018 | 8:30pm
KETUA Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad (tengah) menunjukkan resit dan alat judi online sidang media di Balai Polis Batu Berendam. - Foto MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER

226 ditahan terbabit kes judi

MELAKA: Polis menahan 226 lelaki disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian dan merampas wang tunai RM20,276 dalam Ops Dadu di sekitar daerah Melaka Tengah, di sini, dari Januari hingga semalam.

Kesemua lelaki berusia antara 18 hingga 60 tahun yang kebanyakan mereka bekerja sebagai operator di pusat judi itu ditahan hasil serbuan ke atas 42 premis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata berikutan itu, polis merampas wang tunai RM12,718 membabitkan judi dalam talian, loteri awam tanpa lesen (RM6,315) dan judi lain, RM1,243.

“Susulan penahanan itu, seramai 181 individu sudah didakwa mengikut Seksyen 4A(a) dan 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (RJT) 1953, manakala baki dalam proses pertuduhan,” katanya selepas Ops Dadu di Taman Merdeka, Batu Berendam, di sini, hari ini.

Operasi itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) negeri.

Afzanizar berkata, bagi tempoh sama tahun lalu, seramai 186 individu ditahan dalam operasi sama membabitkan 82 serbuan.

“Jumlah rampasan wang tunai keseluruhan adalah RM21,477 iaitu RM14,250 bagi kes judi dalam talian, loteri awam tanpa lesen (RM6,327) dan judi lain, RM900.

“Selain rampasan, polis melakukan pemotongan bekalan elektrik dan air di 17 premis sejak Jun hingga semalam mengikut Seksyen 21A Akta RJT 1953 dan tindakan dibaca bersama Seksyen 38 (1A) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya.

Mengenai operasi di Taman Merdeka, Afzanizar berkata, pihak berkuasa itu sudah empat kali menyerbu premis sama yang menjalankan perkhidmatan loteri awam tanpa lesen.

“Kebanyakan premis judi ini beroperasi secara berselindung dengan kegiatan perniagaan lain seperti perkhidmatan tambah nilai prabayar telefon dan kedai makan.

“Bagi mengelak premis ini terus beroperasi, tindakan pencegahan, termasuk pemotongan bekalan elektrik dilakukan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya.

256 dibaca
Berita Harian X