Khamis, 11 Oktober 2018 | 1:42pm

Pemandu lori lawan arus mengaku tidak bersalah

KUALA KUBU BHARU: Seorang pemandu lori yang memandu melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan di Kilometer 432, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur masuk Plaza Tol Sungai Buaya, Rawang, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

G Alagenran, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu lori Isuzu secara membahayakan kepada orang awam sehingga menyebabkan kemalangan dengan sebuah lori jenis sama di Kilometer 432.5 Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Plaza Tol Sungai Buaya, jam 7.01 malam pada 7 Oktober lalu.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000, jika disabit kesalahan.

Hakim Azmil Muntapha kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azhwa Yusri Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah turut menetapkan 15 November ini sebagai sebutan semula kes.

Dalam pada itu, tertuduh juga akan didakwa di Mahkamah Shah Alam petang ini untuk pelbagai kesalahan trafik.

NSTP melaporkan, pemandu lori terbabit yang memandu lori tiga tan jenis Isuzu melawan arus sejauh tiga kilometer di lokasi berkenaan sebelum kenderaan itu melanggar sebuah lagi lori yang berada di lorong sama.

Satu klip video berdurasi satu minit 25 saat yang menunjukkan kemalangan membabitkan dua buah lori tersebut tular di laman sosial.

Semakan mendapati lelaki terbabit memiliki 64 saman, 36 waran tangkap dan 15 kes trafik tidak dikompaun, selain tidak memiliki lesen memandu.

Hasil ujian saringan awal dilakukan terhadap pemandu lori berkenaan didapati negatif dadah.

1149 dibaca
Pemandu lori, G Alagenran, 37 yang memandu melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan di Kilometer 432, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur masuk Plaza Tol Sungai Buaya, Rawang, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini. - Foto Saddam Yusoff
Berita Harian X