Isnin, 8 Oktober 2018 | 6:40pm
SEBAHAGIAN kaki judi yang ditahan di ladang kelapa sawit di Jalan Permatang Tinggi, Bukit Mertajam, malam tadi. - Ihsan PDRM

'Kasino pacak' dalam ladang kelapa sawit diserbu

BUKIT MERTAJAM: ‘Kasino kelapa sawit’. Itu dilakukan sekumpulan tahi judi dengan menjadikan sebuah ladang kelapa sawit sebagai lokasi untuk mereka melepaskan gian berjudi di Jalan Permatang Tinggi, di sini, malam tadi.

Dilengkapi dengan meja, kerusi serta berbumbungkan kain kanvas golongan tahi judi ini sanggup bersengkang mata dan masuk ke kawasan yang agak tersorok semata-mata mahu berjudi.

Bagaimanapun, perbuatan semua tahi judi itu terbongkar apabila ‘port’ mereka diserbu sepasukan polis Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT).

Dalam serbuan jam 8 malam itu, seramai 11 lelaki berusia 38 hingga 63 tahun ditahan polis dan pelbagai peralatan judi turut dirampas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika serbuan semua suspek sedang leka berjudi dan mereka tidak sempat melarikan diri kerana kawasan terbabit sudah dikepung.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati mereka menjadikan kawasan terbabit yang agak tersorok dalam ladang kelapa sawit kerana mahu mengelak daripada dikesan polis dan orang ramai.

“Kita dapati, mereka ini menggunakan generator untuk membekalkan bekalan elektrik dengan melakukan pendawaian sendiri.

“Mereka mungkin beranggapan kawasan itu sudah selamat dan agak jauh dari penglihatan orang ramai namun kita berjaya menghidu perbuatan itu selepas melakukan risikan dan juga hasil maklumat awam,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, semua suspek dan barang rampasan dibawa ke IPDSPT untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Antara peralatan yang dirampas itu adalah meja, kerusi plastik, alas meja, bateri, lampu, pelbagai cip, dadu dan mangkuk seramik serta plastik yang dipercayai diguankan bertaruh dalam aktiviti perjudian terbabit.

“Selain itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM274,” katanya.

255 dibaca
Berita Harian X