Sabtu, 15 September 2018 | 9:25am
BAPA mangsa, Hamdan Al Fikri menunggu di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk menuntut jenazah dua anaknya. - Foto Muhammad Apendy Issahak

'Adik janji akan buat yang terbaik dalam UPSR'

KUALA KANGSAR: "Adik janji akan buat yang terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) minggu depan, namun tuhan lebih menyayanginya," kata Aishah Samsudin, 19, kakak kepada Muhammad Amirul Fahmi, 12.

Muhammad Amirul Fahmi, adalah murid Tahun 6, Sekolah Kebangsaan Beluru, yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 44.5 Jalan Ipoh - Taiping, berhampiran Kampung Jamuan di sini bersama dua rakan sekampungnya yang juga adik-beradik

Dua beradik yang maut adalah Muhammad Irfan Hamdan Al Fikri, 17, yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan abangnya Muhammad Asyraf, 27.

Dalam kejadian 8 malam tadi itu, kereta jenis Nissan Sunny dinaiki tiga mangsa yang berasal dari Kampung Beluru, di sini terperosok bawah sebuah treler yang memasuki laluan bertentangan sebelum diseret ke dalam parit di tepi jalan.

Aishah berkata, keluarganya mengetahui mengenai kejadian apabila seorang jiran datang ke rumah dan memaklumkan ayahnya pada kira-kira jam 9.30 malam.

"Susulan mendapat berita itu saya bersama ayah terus ke lokasi kejadian dan sebaik tiba kami dapati kereta masih berada di bawah treler berkenaan.

"Pilu hati apabila melihat ayah menangis di lokasi kejadian susulan pemergian adik bongsu saya itu," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini hari ini.

Menurutnya, arwah adiknya itu keluar rumah kira-kira jam 5.30 petang dijemput dua rakan sekampungnya itu dan difahamkan mereka ingin ke pekan Kuala Kangsar.

"Adik ada minta duit dengan emak sebelum keluar rumah dan mengatakan ingin ke pekan, namun sehingga jam 9 malam mereka tidak pulang.

"Ayah ada menyatakan perasaan tidak sedap hati kerana biasanya adik jarang pulang lewat jika keluar rumah dan kerisauan itu ternyata benar apabila jiran datang ke rumah memberitahu adik terbabit kemalangan," katanya.

Sementara itu, bapa kepada dua beradik yang maut, Hamdan Al Fikri Mat Baki, 57, berkata dia menerima maklumat mengenai kejadian jam 9 malam daripada seorang anaknya.

"Kebetulan ketika itu saya berada di Kuala Kangsar dan sedang memandu lori untuk menghantar barang ke Kuala Lumpur.

"Sebaik terima maklumat saya terus ke lokasi kejadian dan sebaik tiba saya hanya mampu istighfar apabila mendapati kereta saya yang dipandu anak remuk keseluruhannya dan masih terperosok dibawah treler," katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Menurutnya, Muhammad Asyraf adalah anak ketiganya yang juga pemandu lori, manakala Muhammad Irfan pula yang bongsu daripada tujuh beradik dan baru pulang dari sekolah di Pulau Pangkor sempena cuti Hari Malaysia.

Hamdan berkata, ketiga-tiga jenazah akan dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Kampung Beluru selepas dituntut kira-kira jam 8 pagi ini.

995 dibaca
Berita Harian X