Sabtu, 15 September 2018 | 9:16am
AHLI keluarga dan rakan mangsa Muhammad Arsyad dan Muhammad Irfan yang maut dalam kemalangan menunggu jenazah di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar. - Foto Muhammad Apendy Issahak

Kereta dirempuh...terperosok, diseret

KUALA KANGSAR: Kereta dirempuh hingga terperosok bawah treler sebelum diseret ke dalam parit di Kilometer 44.5 Jalan Ipoh-Taiping dekat Kampung Jamuan, di sini.

Itu keadaan ngeri dipercayai menimpa tiga mangsa yang maut dalam kemalangan malam tadi.

Dalam kemalangan jam 8 malam itu, Muhammad Irfan Hamdan Al Fikri, 17 dan abangnya, Muhammad Asyraf, 27, maut di lokasi kejadian.

Seorang lagi mangsa yang menaiki kereta sama dan merupakan anak jiran kepada kedua mangsa, Muhammad Amirul Fahmi Samsudin, 12 turut maut di lokasi kejadian manakala pemandu treler berusia 40 tahun cedera di bahagian kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Zahiri Hassan berkata, siasatan awal mendapati treler tanpa muatan itu dalam perjalanan dari Sungai Siput menghala ke Kuala Kangsar manakala kereta dinaiki ketiga-tiga mangsa pula dari arah bertentangan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian treler berkenaan dipercayai mengelak seekor binatang sebelum hilang kawalan hingga memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta dinaiki tiga mangsa berkenaan.

"Berdasarkan siasatan awal, pemandu treler berkenaan tidak dapat mengenal pasti binatang yang dielaknya berikutan keadaan gelap.

"Berikutan itu, treler terbabit masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta terbabit hingga terperosok di bawah treler itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zahiri berkata, susulan kemalangan itu, ketiga-tiga mangsa maut di lokasi kejadian manakala pemandu treler cedera ringan.

"Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar dan bedah siasat masih dijalankan manakala pemandu treler dihantar hospital sama untuk menerima rawatan.

"Akibat kemalangan itu, kereta dinaiki ketiga-tiga mangsa mengalami kerosakan teruk pada keseluruhan badan kereta manakala treler berkenaan remuk di bahagian hadapan," katanya.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu, pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

765 dibaca
Berita Harian X