Jumaat, 14 September 2018 | 6:29pm

Dadah RM72.5 juta rampasan terbesar JSJN

BUKIT MERTAJAM: Sindiket pengedaran dadah dilihat semakin berani apabila menjadikan sebuah premis di kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Bukit Tengah, di sini sebagai kilang memproses dadah erimin 5.

Perbuatan itu terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Pulau Pinang dan Perak menyerbu premis terbabit, Rabu lalu.

Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai dadah sintetik bernilai RM72.5 juta serta pelbagai peralatan yang digunakan untuk menghasilkan pil erimin 5.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata serbuan dilakukan susulan penahanan tiga suspek termasuk seorang wanita tempatan di Pengkalan Hulu, Perak jam 8 malam, Selasa lalu.

“Semua suspek ditahan dalam sebuah kereta selepas keluar dari negara jiran dan susulan itu mereka membawa polis ke sebuah kilang di Bukit Tengah yang digunakan untuk memproses erimin 5.

“Dalam serbuan itu, kita berjaya merampas 2.13 juta pil erimin 5, 742.6 kilogram (kg) serbuk dadah erimin 5, 27.3 kg syabu, 5,080 pil ekstasi, 53.7 kg cecair kimia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Gemilang, Ibu Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A Thaiveegan; Ketua JSJN negeri Asisten Komisioner Maidu Abu Bakar dan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid.

Menurutnya, polis percaya suspek yang ditahan adalah pakar menghasilkan pil erimin 5 dan pihaknya kini sudah mengenal pasti dalang yang juga Raja Dadah di negara ini.

“Kita sudah kenal pasti Raja Dadah berkenaan selepas penahanan semua suspek ini dan kini masih memburunya dan beberapa ahli sindiket lain.

“Rampasan dadah ini adalah terbesar sejak penubuhan JSJN pada 1996 dan kita akan sentiasa melakukan operasi bagi membanteras aktiviti sindiket dadah ini,” katanya.

Beliau berkata, polis juga turut menyita wang dalam akaun bernilai RM426,000, dua kenderaan mewah, wang tunai dan pelbagai barang kemas yang jumlah keseluruhannya bernilai RM1.1 juta.

“Kita juga turut merampas pelbagai mesin bernilai RM500,000 yang digunakan sindiket untuk memproses erimin 5 terbabit,” katanya.

Menurutnya, kejayaan itu juga susulan daripada kerjasama antara Police Narcotics Suppresion Bureau Thailand (PNSB) dan National Narcotics Control Commision of China (NNCC).

536 dibaca
DATUK Seri Mohmad Salleh (lima dari kiri) semasa mengumumkan kejayaan menumpaskan satu sindiket yang menjadikan sebuah kilang IKS di Bukit Tengah sebagai lokasi memproses erimin 5, dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Bandar Perda. - Foto Danial Saad
DATUK Seri Mohmad Salleh (lima dari kiri) menunjukkan dadah jenis erimin 5 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Bandar Perda. - Foto Danial Saad
DATUK Seri Mohmad Salleh (lima dari kiri) menunjukkan dadah jenis erimin 5 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Bandar Perda. - Foto Danial Saad
Berita Harian X