Jumaat, 14 September 2018 | 5:50pm
KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. - Foto Luqman Hakim Zubir

10 suspek 2 sel pengganas ditahan polis

KUALA LUMPUR: Bahagian ‘Counter Terrorism’ Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan masing-masing lima suspek anggota kumpulan pengganas Asoib (Pemuda dari Timur) dan Ar Rayah Member.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya melancarkan operasi di Selangor, Pahang, Johor, Terengganu, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang dari 11 hingga 31 Ogos lalu, yang berjaya menahan 10 suspek disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas.

Dalam kes pertama, lima lelaki menganggotai kumpulan Asoib membuat tafsiran Imam Mahdi akan muncul di Arab Saudi pada tahun ini dan mendakwa akan bergabung dengan tentera Imam Mahdi bagi menentang dajal.

Mereka merancang bergabung dengan satu kumpulan dari Asia Barat bagi melancarkan serangan di sebuah negara bersempadan dengan negara berkenaan.

Bagaimanapun, lima anggota kumpulan itu ditahan Bahagian ‘Counter Terrorism’ Cawangan Khas, PDRM dalam operasi di Selangor, Pahang, Johor dan Terengganu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya melancarkan operasi di Selangor, Pahang, Johor, Terengganu, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang dari 11 hingga 31 Ogos lalu, yang berjaya menahan 10 suspek disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas.

Beliau berkata, semua mereka terdiri daripada dua sel berasingan yang merancang untuk menyertai kumpulan pengganas di sebuah negara di Asia Barat dan merancang melancarkan serangan di tempat maksiat di Melaka serta Pulau Pinang.

“Tangkapan pertama membabitkan sel yang terdiri daripada lima suspek dikenali sebagai kumpulan Asoib di Selangor, Pahang, Johor dan Terengganu berusia antara 39 hingga 53 tahun.

“Mereka merancang untuk bergabung dengan satu kumpulan pengganas dari sebuah negara di Asia Barat dan akan dibekalkan dengan pelbagai senjata sejurus tiba di sana,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, salah seorang anggota Asoib sudah berlepas ke negara berkenaan bagi membuat persiapan dan menyelaras operasi serangan.

“Kumpulan ini memberi tafsiran salah terhadap hadis, yang mana mereka mempercayai bahawa Imam Mahdi akan muncul di Makkah pada tahun ini.

“Kumpulan ini dipercayai akan bergabung dengan tentera Imam Mahdi untuk menyerang negara sekular dan menentang dajal,” katanya.

Beliau berkata, satu lagi sel terdiri daripada lima anggota ditahan pada 25 Ogos dan 31 Ogos lalu di Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang, dikenali sebagai kumpulan Ar Rayah Member yang berusia dari 18 hingga 50 tahun.

“Suspek utama sel ini merancang untuk melancarkan serangan bom asap di tempat maksiat di sekitar Melaka bagi menimbulkan suasana panik serta gempar kepada pengunjung dengan harapan akan mendatangkan kecederaan dan lima bom asap yang siap diproses dirampas daripada kumpulan ini.

“Susulan tangkapan suspek utama pada 25 Ogos di Melaka, pihak polis menahan empat lagi anggota sel yang sama pada 31 Ogos di Kelantan dan Pulau Pinang.

“Salah seorang suspek lelaki warga asing berusia 50 tahun didapati mempromosikan perjuangan kumpulan mereka melalui aplikasi Whatsapp.

“Suspek berperanan mempengaruhi anggota kumpulan untuk menyumbang dana bagi kumpulan itu membeli senjata api dan peluru menerusi kumpulan Whatsapp Ar Rayah Member,” katanya.

Tambah beliau, semua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA- kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah AKta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah khas) 2012 (Akta 747).

1034 dibaca
Berita Harian X