Khamis, 30 Ogos 2018 | 1:09pm

Remaja antara 19 individu ditahan Operasi Dadu Khas

KUANTAN: Seramai 19 lelaki, termasuk seorang remaja, diberkas Unit Risikan Jenayah (URJ) serta Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, dalam Operasi Dadu Khas, semalam.

Kesemua suspek berusia antara 17 hingga 71 tahun itu ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti menjual dan memiliki tiket loteri haram serta menganjurkan perjudian dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata serbuan dilakukan serentak bermula dari jam 11 pagi hingga 6 petang di lima lokasi berlainan, hasil maklumat awam dan risikan dijalankan pegawai serta anggotanya.

Dalam operasi selama tujuh jam itu, beliau berkata, seramai lapan pegawai dan 53 anggota menyerbu 15 premis sekitar Jaya Gading, Panching, Gebeng, Beserah serta bandar Kuantan.

“Jumlah tangkapan termasuk empat pelanggan disyaki memiliki tiket loteri haram dengan seorang daripadanya adalah warga asing.

“Seorang remaja berusia 17 tahun yang turut diberkas dalam operasi itu pula sudah tidak bersekolah dan kita percaya dia bekerja dengan kumpulan (tiket loteri haram) terbabit,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Antara barang kes dirampas dalam operasi itu ialah 90 keratan kertas tercatat angka disyaki bagi tujuan loteri haram, 22 telefon bimbit, 10 mesin pencetak mudah alih, wang tunai berjumlah RM8,060 dan sebuah kereta.

Difahamkan, kumpulan menawarkan loteri haram itu memproses transaksi kira-kira RM10,000 sehari.

Mohamad Noor berkata, kumpulan terbabit disyaki menggunakan premis seperti kedai menjual video cakera padat, kedai runcit, kedai telefon bimbit, restoran makanan segera dan stesen minyak, malah di dalam kereta, untuk beroperasi.

“Kumpulan itu disyaki beroperasi secara bergerak, tidak ada premis tetap dan sentiasa mengubah lokasi mereka bagi mengelak dikesan.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dan kecekapan pegawai serta anggota melakukan pemantauan sehingga berjaya melumpuhkan kegiatan mereka.

“Saya juga ingin mengingatkan pemilik premis yang bersekongkol bahawa tindakan tegas boleh diambil terhadap mereka kerana melindungi atau menyediakan kemudahan kepada kumpulan terbabit menjalankan aktiviti haram itu,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjalankan atau menganjurkan loteri awam tanpa lesen, Seksyen 4B(a) akta sama kerana menjalankan perjudian dalam talian, dan Seksyen 9(1) akta sama kerana memiliki tiket loteri awam haram.

Katanya, semua suspek kini direman bagi membantu polis melengkapkan siasatan.

231 dibaca
MOHAMAD Noor (dua dari kanan) pada sidang media Operasi Dadu Khas (Loteri Awam Haram dan Judi Online melalui Telefon Bimbit) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Jalan Mahkota, Kuantan. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Berita Harian X