Rabu, 1 Ogos 2018 | 6:08pm

893 mesin judi dilupus

BATU PAHAT: Sebanyak 893 unit mesin perjudian secara dalam talian bernilai hampir RM1 juta, hasil 110 serbuan di premis perjudian di seluruh daerah ini, sejak Januari hingga akhir Julai lalu, dilupuskan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata daripada jumlah itu, seramai 652 orang ditahan membabitkan penjaga premis dan pemain judi.

Katanya, pelbagai peralatan perjudian turut dirampas, antaranya 462 unit komputer, komputer riba (201), mesin simulator 'Wukong' (14), tablet (295) dan wang tunai, RM37,660.

"Daripada jumlah itu, seramai 262 orang dituduh di Mahkamah mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 serta Undang-Undang Kesalahan Kecil (Majlis Daerah Batu Pahat) 2016.

"Kesemua mereka yang dituduh sudah dijatuhkan hukuman denda antara RM2,000 hingga RM5,000 seorang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, hari ini.

Abdul Wahib berkata, pihaknya juga melakukan serbuan ke atas 158 premis yang menjalankan kegiatan loteri awam tanpa lesen dengan tangkapan seramai 159 orang membabitkan nilai rampasan RM32,751.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 173 orang sudah dituduh mengikut Seksyen 4A (a) dan Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dijatuhkan hukuman denda serta penjara.

307 dibaca
KETUA Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa menunjukkan pelbagai peralatan perjudian yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, hari ini. - Foto Essa Abu Yamin
Berita Harian X