Khamis, 26 Julai 2018 | 9:27pm

Polis Kedah serbu 141 premis perjudian, 341 ditahan

ALOR SETAR: Bahagian Siasatan Jenayah, Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah melakukan sebanyak 141 serbuah ke atas premis perjudian di negeri ini bagi tempoh Januari tahun ini sehingga Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid berkata, serbuan Op Dadu Khas dijalankan bagi membanteras perjudian itu membabitkan 90 judi dalam talian dan 51 pusat hiburan keluarga.

Dalam tempoh itu, katanya, 341 orang sudah ditahan membabitkan 313 lelaki dan 28 wanita, manakala 19 mesin simulator, 105 komputer dan 205 telefon bimbit dirampas dalam operasi dijalankan berserta wang tunai sebanyak RM50,930.

"Daripada 141 serbuan itu, 97 daripadanya disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, manakala 44 kes lagi disiasat mengikut Seksyen 11 (3) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Kedah atas kesalahan pelanggaran syarat.

"Bermula 1 April lalu juga polis dimaklumkan sebanyak 150 lesen PHK diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) di mana daripada jumlah itu 83 premis sudah menjalankan perniagaan manakala 67 lagi belum beroperasi," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mior Faridalthrash berkata, pada masa sama terdapat satu lagi bentuk perjudian baharu iaitu perjudian dalam talian menggunakan telefon bimbit atau tablet pelanggan (top up).

"Kegiatan ini (PHK dan judi telefon bimbit) menimbulkan kegusaran masyarakat dan pelbagai aduan diterima sama ada melalui media massa atau laman sesawang.

"Polis sudah mengambil tindakan tegas terhadap operasi yang dijalankan. Di samping siasatan untuk pendakwaan di mahkamah, polis turut mengambil langkah membuat cadangan pembatalan lesen premis yang menjalankan kegiatan perjudian dan menyalahgunakan lesen dikeluarkan pihak pejabat daerah berkenaan," katanya.

Beliau berkata, di daerah Kota Setar sahaja sebanyak 24 premis dicadangkan untuk pembatalan lesen, manakala di Kuala Muda sebanyak tiga premis dikenal pasti untuk dibatalkan lesen perniagaan.

"Polis turut mengemukakan permohonan permotongan bekalan elektrik dan air bagi semua premis yang didapati menjalankan kegiatan perjudian di mana bermula Januari hingga Jun lalu sebanyak 48 permohonan dikemukakan dan 40 daripadanya sudah dilaksanakan.

"Bagi premis yang disyaki ada menyimpan mesin perjudian pihak polis sudah memperolehi tiga waran geledah yang disempurnakan membabitkan daerah Langkawi di mana semua mesin itu dirampas dan sita untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada lesen PHK yang dikeluarkan di mana operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga masalah ini diatasi sepenuhnya.

"Orang ramai dialu-alukan menyalurkan maklumat melalui bilik gerakan IPK Kedah di talian04-7741403/7741405 dan pasukan bertindak ditalian04-7741394 atau WhatsApp 017-5753800," katanya.

393 dibaca
Berita Harian X