Khamis, 17 Mei 2018 | 11:41pm

`30 minit kemudian jeritan terhenti'

BAGAN DATUK: "Lelaki itu memaki hamun sambil menetak dengan parang pintu rumah empat beranak berkenaan sebelum berjaya masuk.

"Keadaan sangat huru-hara dengan jeritan tiga beradik serta ibunya, namun kira-kira 30 minit kemudian jeritan itu terhenti," kata Salbiah Idris, 72.

Salbiah adalah nenek saudara kepada tiga kanak-kanak yang maut dalam kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Muhamad, di sini, petang tadi, yang turut mengakibatkan empat lagi parah.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, tiga beradik yang maut adalah Nur Ziah Fasihah Mohd Fadzil, 2; abangnya, Muhammad Firash Zaffril, 3 dan Mohammad Faqhqih Zahirulhaq, 5.

Turut cedera dalam kejadian itu adalah ibu kanak-kanak terbabit, Zuraidah Md Ali, 35, yang putus ibu jari kanan dan pergelangan tangan kiri hampir putus, serta anak sulungnya, Nur Zuryn Faziera, 9, yang cedera di kepala dan tangan kanan akibat ditetak.

Rakan sekolah Nur Zuryn Faziera, dikenali sebagai Aina, 9 dan seorang guru agama berusia 40 tahun juga cedera dalam kejadian amuk itu.

Difahamkan, Nur Zuryn Faziera, rakannya dan guru agama itu ditetak di kawasan Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhamad.

Salbiah berkata, beliau tidak berani keluar rumah ketika kejadian dan hanya menjerit dari tingkap meminta lelaki yang juga penduduk kampung itu supaya bertenang.

"Lelaki itu menggugut saya supaya tidak masuk campur dan akan menetak saya.

"Saya minta bantuan suami, Abu Bakar Jalil, 72, supaya mententeramkan lelaki itu, tetapi suami juga tidak berani kerana lelaki terbabit bersenjatakan parang," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, yang terletak bersebelahan rumah mangsa.

Difahamkan, suspek adalah rakan sekerja bapa empat beradik terbabit, Mohd Fadzil Mohammad, 32.

10852 dibaca
SALBIAH Idris. - Foto Muhaizan Yahya
LOKASI kejadian tiga kanak-kanak maut dalam kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Muhamad, petang tadi. - Foto Muhaizan Yahya
Berita Harian X