;
Khamis, 17 Mei 2018 | 8:12pm

10 jam gerudi peti besi Najib

KUALA LUMPUR: Polis kini dalam peringkat terakhir penggeledahan di rumah Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini, dengan cubaan membuka sebuah peti besi lama milik keluarga itu.

Sehingga jam 7 malam tadi, polis dikatakan masih berusaha membuka dengan cara menggerudi peti besi lama yang terletak di tingkat satu kediaman itu.

Peguam mewakili Najib, Datuk Harpal Singh Grewal mendakwa, kunci peti besi berkenaan sudah hilang menyebabkan pihak polis terpaksa menggerudinya untuk mengenal pasti isi kandungannya.

"Sejak jam 8.30 pagi tadi, beberapa pegawai polis menggerudi peti besi berkenaan yang tidak pernah dibuka sejak 20 tahun lalu kerana kuncinya sudah lama hilang.

"Proses penggerudian yang berlarutan sehingga jam 5 petang menimbulkan gangguan yang menjejaskan ketenangan di kediaman keluarga Najib," katanya kepada pemberita, di sini, tadi.

Beliau berkata, tindakan polis melakukan pemeriksaan bermula semalam hingga ke petang ini turut menjejaskan ibadah puasa bekas Perdana Menteri berkenaan serta ahli keluarga dan staf yang bertugas di situ.

"Selain itu, kehadiran antara 50 hinga 60 anggota polis bagi melakukan pemeriksaan itu juga menimbulkan tekanan perasaan selain mengganggu tidur Najib dan keluarganya berikutan hampir 20 jam pemeriksaan masih dilakukan.

"Setakat ini, tiada sebarang dokumen dibawa keluar oleh pihak polis, hanya beberapa kotak mengandungi beg tangan, pakaian serta barang peribadi," katanya lagi.

42132 dibaca
BEBERAPA kenderaan polis kelihatan keluar dari kediaman peribadi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta. - Foto BERNAMA
Berita Harian X