;
Khamis, 17 Mei 2018 | 5:39pm
MUSA hari ini memfailkan saman terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - Foto Khairull Azry Bidin

Musa Aman saman TYT, Mohd Shafie

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman, hari ini memfailkan saman terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Saman berkenaan difailkan menerusi firma guaman Messrs FT Ahmad & Co, bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut peruntukkan undang-undang.

Saman berkenaan juga mendakwa bahawa pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Peguam mewakili Tan Sri Musa Aman, Tengku Fuad Tengku Ahmad, berkata writ saman itu juga menghendaki pengisytiharan bahawa semua tindakan oleh Mohd Shafie yang dikatakan sebagai Ketua Menteri ketika ini sebagai batal, tidak sah dan tiada kesan.

Katanya, mengikut Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, kedua-dua defendan mempunyai tempoh masa 14 hari untuk memberi maklum balas kepada writ berkenaan.

Musa mengangkat sumpah Ketua Menteri di hadapan Juhar pada lewat malam 10 Mei lalu berdasarkan majoriti mudah 31 kerusi menerusi kerjasama BN-Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Dua hari kemudian iaitu pada Sabtu lalu, Mohd Shafie pula mengangkat sumpah Ketua Menteri di hadapan Juhar selepas mendapat majoriti berikutan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN menyatakan sokongan dan bekerjasama dengan pakatan Parti Warisan Sabah (WARISAN) - Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan.

54006 dibaca
Berita Harian X