;
Rabu, 16 Mei 2018 | 1:20pm
DATUK Seri Khairuddin Abu Hassan. - Foto Zunnur Al Shafiq

Mahkamah tolak permohonan Khairuddin periksa balas Jho Low

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menolak permohonan bekas Naib Ketua UMNO bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, untuk memeriksa balas Low Taek Jho dalam kes saman yang difailkan bagi memohon perintah Datin Seri Rosmah Mansor memulangkan set rantai berlian merah jambu bernilai AS$27.3 juta kepada kerajaan.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menolak permohonan Khairuddin selepas mendapati tiada merit untuk berbuat demikian pada peringkat ini.

Ia berhubung afidavit sokongan yang dikemukakan Low Taek Jho atau Jho Low untuk membatalkan saman yang dikemukakan Khairuddin.

Peguam Damien Chan hadir bagi mewakili Khairuddin, manakala peguam Rishwant Singh bertindak bagi pihak Jho Low.

Mahkamah menetapkan esok untuk mendengar permohonan Rosmah, Jho Low dan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk membatalkan saman oleh Khairuddin itu.

Pada 16 Ogos 2017, Khairuddin memfailkan saman itu dengan menamakan Rosmah, Jho Low dan syarikat 1MDB sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Khairuddin mendakwa antara Jun 2013 dan Mac 2014, Jho Low melalui agennya membeli barang kemas daripada sebuah syarikat dikenali sebagai Loraine dari New York yang mana beliau mendakwa jumlah itu adalah sebahagian daripada wang yang dicuri Jho Low daripada 1MDB.

Khairuddin mendakwa barangan kemas itu iaitu batu berlian berwarna merah jambu bernilai dan rantai leher kemudiannya diterima sebagai hadiah oleh Rosmah pada Mac 2014.

Oleh itu, plaintif menuntut perintah mahkamah supaya Rosmah mengembalikan semula barangan kemas berkenaan kepada 1MDB serta satu perintah supaya Jho Low membayar jumlah wang yang telah digelapkan dan disalahguna kepada 1MDB.

Beliau turut menuntut Rosmah dan Jho Low membayar pampasan atas dakwaan menyalahguna barang kemas itu, selain menuntut kos dan relif lain yang sesuai.

6193 dibaca
Berita Harian X