Ahad, 22 April 2018 | 6:32pm

Pengurus kanan ditahan disyaki ambil rasuah RM190,000

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus kanan sebuah syarikat kejuteraan marin ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, selepas disyaki mengambil rasuah berjumlah RM190,000.

Suspek berusia 48 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung aktiviti rasuah berkaitan kerja pembaikan kapal di sebuah limbungan di bawah seliannya.

Sumber berkata, suspek dikatakan meminta wang dalam jumlah yang besar sebagai balasan pemberian kerja-kerja pembaikan kapal gas asli cecair (LNG) di sebuah limbungan pada tahun 2011 ke 2012.

"Suspek dikatakan sudah menerima wang berjumlah RM190,000 antara tahun itu daripada kontraktor yang bertanggungjawab melaksanakan kerja pembaikan itu.

"Suspek dipanggil ke pejabat SPRM Johor dan ditahan selepas keterangannya dirakam kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi," katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahan itu dan berkata, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

1386 dibaca
Berita Harian X