Selasa, 17 April 2018 | 12:16pm

Dadah RM127,681 dirampas

IPOH: Polis menahan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dan merampas pelbagai jenis bahan larangan itu bernilai RM127,681 dalam tiga serbuan di bandar raya ini dan Batu Gajah, sejak Jumaat lalu hingga pagi kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Asisten Komisioner V R Ravi Chandran, berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah kedai di Pusing, Batu Gajah, dekat sini pada jam 10.40 malam Jumaat lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 55 tahun susulan penemuan sembilan paket plastik mengandungi dadah dipercayai heroin seberat 3.8 kilogram (kg) bernilai RM116,340.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai peniaga pasar malam dan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Dalam serbuan kedua pada jam 11.30 malam hari berikutnya, pasukan JSJN dibantu Unit Peronda Polis (MPV) menahan sebuah kereta jenis PROTON Saga dalam keadaan mencurigakan di kawasan Taman Desa Aman di sini.

"Hasil pemeriksaan dalam kereta menemui 80 paket plastik dipercayai dadah jenis serbuk ectasy seberat 821 gram sebelum polis menahan lelaki berusia 32 tahun yang memandu kereta berkenaan.

"Ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Ravi Chandran berkata, bagi serbuan ketiga di kawasan rumah kedai di Canning Estate, di sini, pada jam 1 pagi kelmarin pula, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 41 tahun dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan menemui 30 keping aluminium yang keseluruhannya mengandung 300 biji dadah jenis Eramin 5 dianggarkan bernilai RM4,500.

"Turut disita kereta PROTON Iswara milik suspek bernilai RM3,000, manakala ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin dan mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan dadah," katanya.

Beliau berkata, semua nilai rampasan dadah bagi ketiga-tiga kes bernilai RM127,681 dan semua suspek direman tujuh hari hingga Sabtu ini bagi siasatan lanjut.

Katanya, siasatan bagi ketiga-tiga kes dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Ravi Chandran berkata, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM788,763 di negeri ini dalam tempoh Januari tahun ini hingga Ahad lalu.

"Secara keseluruhannya bagi tempoh itu, seramai 2,364 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah berbanding 2,277 individu ditahan dalam tempoh sama tahun lalu.

"Penahanan itu menunjukkan peningkatan 87 orang atau empat peratus berbanding tahun lalu," katanya.

742 dibaca
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Asisten Komisioner VR Ravi Chandran (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam tiga serbuan di sekitar Ipoh dan Batu Gajah ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak. - Foto Effendy Rashid
Berita Harian X