Selasa, 17 April 2018 | 11:51am
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof. - Foto Farizul Hafiz Awang

Lombong dibeli tak dapat, RM100,000 lesap

KUANTAN: Hasrat seorang ahli perniagaan bergelar Datuk, memiliki lombong bijih besi di Chini dekat Pekan, tidak kesampaian, sebaliknya kerugian RM100,000 selepas diperdaya dalam urusan jual beli tanah perlombongan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa berusia 54 tahun itu, mulanya ditawarkan membeli lombong berkenaan yang dijual dengan harga RM1 juta oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Jaya, pada Disember tahun lalu.

"Jaya mendakwa lombong berkenaan hendak dijual kerana kontraktor yang beroperasi sekarang tidak membayar kepada syarikat yang memiliki tanah berkenaan.

"Mangsa berminat mengambil alih lombong bijih besi itu dan pada 29 Disember mangsa menyerahkan wang deposit sebanyak RM50,000 melalui cek dan RM50,000 lagi secara tunai," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, wang berkenaan diberikan melalui Jaya untuk diserahkan kepada pemilik tanah lombong berkenaan yang juga bergelar datuk.

"Mangsa dan pemilik tanah lombong itu membuat membuat perjanjian sekiranya tidak dapat menamatkan kontraktor dalam masa sebulan dia akan memulangkan semula wang RM100,000.

"Bagaimanapun selepas dua bulan, mangsa mendapat makluman daripada Jaya, pemilik tanah itu mahu membuat bayaran semula wang RM100,000 kerana tidak dapat menunaikan perjanjian jual tanah itu," katanya.

Beliau berkata, suspek juga berjanji, sekiranya mangsa tidak memperoleh wang berkenaan, dia boleh mengambil lori milik syarikatnya.

"Namun, sehingga kini, mangsa tidak memperoleh wangnya. Mangsa cuba menghubungi suspek tetapi gagal sebelum membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam," katanya.

Mohd Wazir berkata, modus operandi suspek adalah menawarkan jualan tanah perlombongan bijih besi yang tidak wujud di Chini sehingga mendorong mangsa menyerahkan sejumlah wang.

"Kita sudah merakam percakapan mangsa dan Jaya untuk membantu siasatan kes ini. Polis juga membuat semakan mengenai kesahihan perjanjian yang dibuat antara mangsa dan suspek.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya.

636 dibaca
Berita Harian X