Isnin, 16 April 2018 | 11:00pm
- Gambar hiasan

Peluru dan nota ugutan

KUALA LUMPUR: Polis Selangor menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes ugutan terhadap dua pegawai atasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata pegawai terbabit menerima bungkusan mengandungi peluru hidup 9mm berserta perkataan ugutan bertulis 'Jaga Baik Lepas Ini'.

Beliau berkata, kedua-dua pegawai terbabit membuat laporan polis berhubung perkara itu, secara berasingan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, tengah hari tadi.

"Kami meminta kerjasama orang ramai atau saksi kejadian untuk menyalurkan sebarang maklumat berhubung kes itu bagi membantu siasatan.

"Mana-mana pihak juga diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Kedua-dua pegawai terbabit dilaporkan menerima bungkusan berbentuk ugutan itu dalam peti surat rumah mereka di Bandar Seri Putra, Bangi dan Sungai Tangkas, Kajang.

Berdasarkan kiriman ugutan dan jenis peluru yang diterima oleh dua pegawai berkenaan, berkemungkinan pengirim bungkusan itu adalah individu yang sama.

Pada masa ini, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, atas kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama.

1210 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »