Isnin, 16 April 2018 | 7:27pm
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli. - Foto Roslin Mat Tahir

Berita palsu Rohingya diberi kad pengenalan

KLANG: Masyarakat sekitar Pandamaran diminta jangan terpedaya dengan berita palsu yang tersebar di media sosial bahawa lebih 1,000 etnik Rohingya diberi kad pengenalan untuk mengundi Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Baru Pandamaran, David Foo Teck Li, berkata berita palsu yang disebarkan di WhatsApp, Wechat dan Facebook itu bertujuan untuk mencemarkan imej BN menjelang PRU-14.

"Pada 15 April lalu, semasa saya dan rakan berada di Pejabat MCA Daerah Klang, saya menerima klip video melalui WhatsApp menunjukkan gambar dan suara lelaki cina bertutur dalam bahasa Mandarin menyatakan ada beribu-ribu etnik Rohingya dibawa masuk untuk mengundi BN.

"Pihak kami sudah membuat laporan polis dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini, hari ini.

David berkata, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana ia bukan sahaja menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat sebaliknya memburukkan imej BN.

"Saya berharap perkara seperti ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang, sepatutnya kita berpolitik secara matang, bukan dengan cara sebar berita palsu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, ketika dihubungi BH hari ini, mengesahkan ada menerima laporan mengenai isu terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

251 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »