;
Ahad, 8 April 2018 | 5:52pm
SEMBILAN lelaki yang menjadikan Lebuhraya Persekutuan sebagai medan perlumbaan ditahan dalam operasi mengejut `Ops Samseng Jalanan', awal pagi tadi. - Foto NSTP

Sembilan mat rempit ditahan

KUALA LUMPUR: Sembilan lelaki yang menjadikan Lebuhraya Persekutuan sebagai medan perlumbaan ditahan dalam operasi mengejut `Ops Samseng Jalanan', awal pagi tadi.

Mereka berusia antara 18 tahun hingga 29 tahun itu ditahan Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, kira-kira jam 3 pagi.

Operasi dilakukan apabila sembilan 'mat rempit' berkenaan dikesan berlumba di lebuh raya itu sejak jam 11 malam tadi.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor, berkata mereka dikesan berlumba sesama sendiri dengan melakukan aksi berbahaya seperti 'zig-zag' dan 'superman'.

Katanya, sebelum ditahan, mereka dipercayai melakukan satu pusingan perlumbaan bermula dari Kilometer (KM) 11.8 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang sebelum berpatah balik di KM 11.

"Hasil pemantauan, kesemua mereka bukan sekadar berlumba, sebaliknya melakukan aksi berbahaya yang dikhuatiri mampu membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

"Oleh kerana itu, kita mengambil tindakan dengan menjalankan Ops Samseng Jalanan secara mengejut bagi menahan mereka yang terbabit dalam perlumbaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sharul Othman berkata, mereka yang ditahan adalah empat lelaki berusia 18 tahun, dua lelaki berusia 21 tahun, manakala yang lainnya masing-masing berusia 20, 24 dan 29 tahun.

"Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya," katanya.

943 dibaca
Berita Harian X