Rabu, 14 March 2018 | 2:22pm
KEADAAN lori yang dipercayai membawa muatan balak haram merempuh sebuah rumah di Besut, awal pagi tadi. - Foto ihsan Jabatan Perhutanan Tengganu

Pemandu lori bawa balak haram rempuh rumah

BESUT: Seorang pemandu lori dipercayai membawa muatan balak haram, merempuh sebuah rumah ketika cuba melarikan diri daripada Unit Penguat Kuasa, Jabatan Perhutanan Terengganu, dalam satu operasi bersepadu di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4 pagi, rumah terbabit yang kosong dan tidak berpenghuni ketika itu, mengalami kerosakan teruk.

Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid, berkata dalam Ops Helang bermula jam 9 pagi semalam, Unit Penguat Kuasa menggunakan dron daripada ibu pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) untuk mengesan kegiatan mencuri balak di beberapa kawasan sering dicerobohi.

Katanya, unit itu kemudian mengesan kegiatan sebuah lori mencurigakan berhampiran Kampung Oh di Hulu Besut, sebelum mengejar suspek sejauh lima kilometer kerana enggan memberhentikan kenderaan walaupun diberi amaran berkali-kali.

"Pemandu lori itu membuat pusingan U di persimpangan Kampung Jabi secara melulu dan membahayakan sebelum memasuki semula jalan menuju ke Kampung Oh. Pihak berkuasa terpaksa mengejar suspek hingga ke Kampung Bukit Payung.

"Kita turut meminta bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut untuk menangkap suspek yang memasuki kawasan kampung dan memandu secara berbahaya sebelum merempuh sebuah rumah," katanya kepada NSTP.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati lori itu membawa muatan dua batang balak jenis meranti bernilai lebih RM10,000.

"Beberapa minit kemudian, Unit Penguat Kuasa didatangi seorang lelaki meminta supaya lori dan balak itu tidak dirampas.

"Namun, pegawai dan anggota kita bertegas merampas serta menyita kenderaan dan muatan terbabit sebagai bahan bukti di Pejabat Renjer Kampung Raja," katanya.

Susulan kejadian itu, Ahmad Fadzil berkata, pihaknya membuat laporan di IPD Besut dan kes disiasat mengikut Seksyen 84 Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 kerana membawa hasil hutan tanpa memiliki dokumen sah.

Katanya, Ops Helang akan diterus menggunakan aset JPSM bagi membanteras kegiatan pembalakan haram di negeri ini, terutama di Besut yang semakin berleluasa dan dipercayai didalangi seorang 'mastermind'.

866 dibaca
Berita Harian X