Rabu, 14 March 2018 | 2:17pm
VIDEO berdurasi 32 saat memaparkan seorang daripada suspek membuli remaja OKU di padang permainan Taman Sri Kluang. - Foto Facebook

2 remaja suspek buli, samun OKU positif dadah

KLUANG: Dua suspek yang membuli dan mencuri telefon pintar serta beg sandang milik seorang remaja orang kurang upaya (OKU) dalam kejadian di padang permainan Taman Sri Kluang dekat sini, petang semalam, disahkan positif dadah.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata hasil ujian dijalankan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka mengambil dadah jenis methamphetamine.

"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek berusia 18 tahun itu positif dadah dan polis turut menyiasat mereka mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukan dadah dalam badan yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta perintah pengawasan polis selama dua tahun.

"Kedua-dua suspek yang ditahan di rumah mereka di Taman Sri Lambak kira-kira jam 11 malam tadi itu turut disiasat mengikut Seksyen 382 Kanun Keseksaan kerana samun dan direman empat hari.

"Polis turut merampas semula sebuah telefon bimbit dipercayai mangsa samun mereka," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, NSTP melaporkan polis menahan dua suspek yang membuli dan mencuri telefon pintar serta beg sandang milik seorang remaja OKU di padang permainan Taman Sri Kluang, tengah malam tadi.

Video selama 32 saat mengenai kejadian buli berkenaan viral di media sosial sejak mula dimuat naik malam tadi yang antara lain memaparkan seorang daripada suspek membuli remaja OKU berkenaan menggunakan sebatang kayu di taman permainan berkenaan.

1041 dibaca
Berita Harian X