Rabu, 14 March 2018 | 1:23pm
ANTARA jentera yang digunakan untuk kegiatan memindahkan kayu balak secara haram di Hutan Simpan Kelau, Bentong. - Foto Mohd Rafi Mamat

Perhutanan Pahang rampas balak haram bernilai RM360,000

BENTONG: Pejabat Hutan Daerah Bentong menemui 800 batang balak pelbagai jenis bernilai kira-kira RM360,000 yang ditebang secara haram dalam kawasan Hutan Simpan Kelau di sini, kelmarin.

Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata pemeriksaan menemui tiga longgok balak jenis meranti, keruing, kempas dan cengal, seberat 200 hingga 300 tan.

Beliau berkata, turut dirampas tiga jengkaut, sebuah jentolak, lori pengangkut dan jentera pengangkat balak yang digunakan untuk kegiatan haram dipercayai sejak seminggu lalu.

Katanya, serbuan susulan Ops Ganyang yang diketuai Pegawai Pejabat Hutan Daerah Bentong, Shairani Mamat dan Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan (Zon Pahang Timur), Zahariah Zainal Abidin, turut menahan tiga penebang balak warga Indonesia berumur 40 hingga 50 tahun.

"Sindiket pembalakan haram terbabit dipercayai cuba menjadikan projek pembinaan jalan raya Central Spine Road di antara Bentong ke Merapoh, Lipis yang sedang dalam pembinaan sebagai pelindung kepada kegiatan haram mereka yang dipercayai aktif sejak seminggu lalu.

"Kawasan Hutan Simpan Kelau terletak berhampiran projek jalan raya terbabit memudahkan sindiket terbabit membawa masuk jentera untuk digunakan menjalankan kegiatan haram itu," katanya dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Hizamri berkata, kerjasama kakitangan syarikat pemaju projek itu yang bertugas di kawasan Mempaga, di sini dengan memberi maklumat terhadap kegiatan pembalakan haram itu menjurus kepada terbongkarnya kegiatan berkenaan.

Beliau berkata, anggota Unit Penguatkuasa Zon Pahang Timur dan Barat kini sedang melakukan siasatan dan tinjauan di kawasan hutan simpan Kelau bagi mengumpul maklumat dan melihat kesan kegiatan penebangan.

"Kita sentiasa memandang serius kegiatan penebangan balak secara haram di negeri ini bagi memastikan kesan kerosakan alam sekitar tidak terus berlaku selain menyebabkan kerugian hasil cukai kepada kerajaan.

"Individu yang terbukti melakukan kesalahan menebang dan memindahkan balak tanpa lesen akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara (APN) 1984," katanya.

610 dibaca
Berita Harian X