Rabu, 14 March 2018 | 1:10pm

15 PATI baru masuk sejam ditahan

PASIR MAS: Seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dicekup di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Chenerai Alor Pasir, Jeram Perdah, Rantau Panjang di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 4 petang, mereka dipercayai sedang menunggu sebuah kereta untuk ke stesen bas sebelum ke Kuala Lumpur, namun berjaya ditahan anggota Bahagian Risikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9, Kubang Badak, Terengganu.

Hasil maklumat orang ramai, empat tekong lelaki meliputi seorang warga Thailand yang disyaki menjadi pelindung PATI terbabit, turut ditahan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah, berkata kesemua PATI berusia antara 23 hingga 28 tahun, termasuk tujuh wanita itu ditahan ketika sedang berehat di atas kanvas.

Berdasarkan siasatan awal, beliau berkata, mereka dipercayai akan ke stesen bas menaiki sebuah kereta sebelum ke Kuala Lumpur.

"Kita mendapati pendatang terbabit baru memasuki negeri ini melalui pangkalan haram Pak Dik, Rantau Panjang, kira-kira sejam sebelum ditahan.

"Mereka kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

"Empat tekong berusia antara 20 hingga 28 tahun pula disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670)," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, PATI terbabit berkemungkinan ke Kuala Lumpur untuk bekerja dalam sektor pembinaan atau buruh.

507 dibaca
KETUA Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah (tengah) menunjukkan kenderaan yang digunakan tekong untuk membawa PATI warga Myanmar, ketika ditemui di pejabatnya di Pasir Mas, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X