Rabu, 14 March 2018 | 1:03pm

Tiga hari serumah dengan mayat

GEORGETOWN: Hidup bertemankan mayat teman wanita rakan serumahnya selama tiga hari, itulah keadaan dihadapi dua lelaki warga Nepal yang mendiami sebuah rumah di Flat Green Garden, Air Itam di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mayat seorang wanita warga Indonesia, Santi Restauli Simbolon, 25, ditemui dalam keadaan terduduk dan terkunci dalam sebuah almari di dalam bilik utama rumah terbabit.

Sumber berkata, rakan mangsa terpaksa mengumpil pintu bilik terbabit sebelum memecahkan almari berkunci yang menempatkan mayat wanita berkenaan, selepas terhidu bau busuk dari bahagian ruang tamu.

"Mangsa yang bekerja sebagai operator kilang itu dipercayai dibunuh pada Ahad lalu, dengan kali terakhir dia dilihat di dalam rumah terbabit oleh dua rakan serumah teman lelakinya, pada Jumaat lalu.

"Mangsa menetap di tingkat 17 bangunan sama dan mayatnya dikatakan dikenal pasti melalui tata rias berwarna ungu di bahagian kukunya," katanya ketika ditemui pemberita di sini, tengah malam tadi.

Sementara itu, seorang jiran yang enggan dikenali mendakwa, dia sering terdengar pergaduhan dari rumah terbabit, dikatakan setiap kali ketika mereka mabuk.

"Teman lelakinya pindah masuk ke rumah ini selepas berkenalan dengan mangsa. Sebelum ini, dia mendiami sebuah unit berhampiran yang disediakan pihak syarikatnya.

"Saya sering terdengar pergaduhan di rumah ini, terutamanya ketika mereka mabuk. Bagaimanapun, saya tidak tahu apa punca pergaduhan kerana tak mahu masuk campur dalam urusan mereka," katanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun yang juga teman serumah suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Setakat ini pihak polis sudah mengenal pasti identiti suspek, iaitu lelaki warga Nepal dan berusia 27 tahun, selain giat menjalankan operasi untuk menahan lelaki terbabit. Kita percaya motif pembunuhan adalah cemburu.

"Keempat-empat mereka, termasuk mangsa adalah rakan sekerja di sebuah kilang sama dan temu bual ke atas rakan bilik mangsa mendapati kali terakhir wanita berkenaan dilihat dibiliknya, pada Sabtu lalu," katanya.

7847 dibaca
ANGGOTA Polis Forensik mengusung mayat seorang wanita yang ditemui mati di Green Garden, Air Itam. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
ANGGOTA Polis Forensik membawa bahan bukti berikutan mayat seorang wanita yang ditemui mati di Green Garden, Air Itam. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
Berita Harian X